Rabu, 30 November 2016

PAFA tamatkan kontrak Samsurin, L. Suresh

RKIB : 16/04/1999
PERSATUAN Bola sepak Perak (PAFA) mengambil keputusan menamatkan kontrak dua pemain pasukan negeri itu - Samsurin Abdul Rahman dan L. Suresh selepas mereka gagal pulih daripada kecederaan dalam masa yang ditetapkan.

Timbalan Presiden PAFA, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, kekosongan dua pemain itu tidak akan diganti kerana senarai pemain yang ada mampu meneruskan tugas yang diberikan kepada mereka.

Beliau berkata, kedua-dua pemain memahami keputusan yang diambil oleh PAFA itu sewaktu mereka menandatangani kontrak.

Satu daripada syarat yang ditetapkan dalam kontrak itu ialah pemain yang tidak pulih daripada kecederaan akan menghadapi tindakan kontrak mereka ditamatkan, kata beliau selepas mempengerusi satu mesyuarat PAFa di kediaman Menteri Besar Perak, Tan Seri Ramli Ngah Talib di Ipoh, petang semalam.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, kecederaan yang dialami oleh dua pemain itu disahkan sejak sebulan yang lalu dan PAFA terpaksa segera membuat keputusan untuk menjimatkan perbelanjaan.

Sementara itu, penjaga gol Perak, Mohd Ramzi Razuwan digantung daripada beraksi dalam mana-mana perlawanan berkuatkuasa sertamerta berikutan kad mereah yang diterimanya sewaktu perlawanan menentang Brunei, Sabtu lalu. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RULeaiWn © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 November 2016

Perak menang selesa atasi Terengganu

ARKIB : 04/04/1999
BERMAIN tanpa beberapa tonggak utama tidak menghalang Perak untuk mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Terengganu dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Perak, malam tadi, lapor MOHD. TAUFEK RAZAK.

Penyerang muda, Mior Nor Samsul Kamal yang diharap mengatasi kepincangan bahagian serangan selepas ketiadaan V. Saravanan, melakukan tugasnya dengan baik apabila menyumbangkan dua gol pada minit ke-23 dan 27.

Manakala satu lagi gol Perak dijaringkan M. Nagaraja pada minit ke-87. Gol tunggal Terengganu pula dijaringkan Anuar Jusoh pada minit ketiga.

Perak menguasai babak pertama dengan baik walaupun dikejutkan Terengganu menerusi jaringan Anuar Jusoh seawal minit ketiga permainan selepas satu kesilapan barisan pertahanan.

Kemasukan Azrul Amri Burhan pada minit ke-19 yang sekali gus mengubah corak persembahan Perak menerusi gerakan-gerakan mantap yang mengucar-ngacirkan pertahanan lawan.

Terengganu yang sepanjang babak pertama diasak hebat cuba bangkit sebaik bermula babak kedua tetapi mendapati pertahanan Perak yang dikemudi Roslan Hamid sukar ditembusi.

Malang menimpa Terengganu apabila A. Ganeson dibuang padang dan ini memudahkan tugas Perak untuk menghasilkan gol ketiga.

M. Nagaraja yang berjaya melepasi perangkap ofsaid Terengganu melakukan larian solo untuk menyumbangkan gol ketiga minit ke-87.

Sementara itu, dalam satu-satunya perlawanan Perdana Dua yang berlangsung semalam, Telekom Melaka menewaskan Johor 2-0 di Stadium Larkin, Johor Bahru.

Perlawanan itu sepatutnya berlangsung malam kelmarin tetapi ditunda dan dilangsungkan pagi semalam kerana masalah bekalan elektrik.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RRzIITyF © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 18 November 2016

Perak bermula dengan bergaya

ARKIB : 21/03/1999
PENYERANG Perak, V. Saravanan (21) cuba dikejar oleh dua pemain pertahanan Sabah pada perlawanan Liga Perdana Satu, malam tadi. Perak menang 1-0. - Gambar MOHAMAD HASHIM.

JUARA Piala Malaysia, Perak membuka kempen bola sepak Liga Perdana Satu dengan bergaya apabila menewaskan Sabah 1-0 dalam perlawanan di Stadium Perak, malam tadi.

Walaupun bermain atas padang basah dan di depan hanya 7,000 penyokong sendiri, Perak membuktikan mereka antara pasukan pilihan musim ini dengan memperoleh gol menerusi M. Nagaraja pada minit ke-50.

Terima kasih kepada penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamad yang menjadi penyumbang kepada kemenangan itu sekali gus membolehkan Perak memungut tiga penuh.

Ternyata label sebagai pasukan juara menyaksikan Perak terus mengasak sebaik permainan dimulakan namun percubaan minit pertama P. Gunasekaran ditampan kemas Khairul Azman.

Keghairahan Perak mencari gol awal jelas memaksa Sabah hanya bertahan selepas itu biar pun cuba menyaingi rentak pantas tuan rumah yang mengamalkan hantaran-hantaran pendek yang kemas untuk memecah kubu lawan.

Saravanan yang sentiasa menjadi duri dalam daging bagi pertahanan Sabah berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-9 tetapi larian solonya dari tengah padang gagal disempurnakan apabila sepakan leretnya terkena tiang ketika Khairul sudah pun tertewas.

Asakan digandakan oleh Perak namun mereka mendapati pertahanan Sabah yang diterajui Veselin Kovasevic terlalu kebal untuk ditembusi.

Walaupun tertekan dengan corak permainan lawannya, Sabah sempat mencuri peluang pada minit ke-39 namun sepakan kencang Henry Soimpon dari jarak 35 meter berjaya ditepis keluar penjaga gol Perak, V. Murugan.

Bagaimanapun Sabah tidak mampu lagi bertahan apabila lima minit selepas separuh masa kedua bermula, Perak memperoleh gol menerusi Nagaraja yang menyambut bola muntah hasil kesilapan Khairul yang gagal menolak keluar bola tandukan Mior Nor Samsul dari kawasan bahaya.

Gol itu bagaimanapun gagal menyuntik semangat pemain-pemain Perak sebaliknya menyaksikan Sabah mengambil giliran melakukan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Dalam keletihan, pertahanan Perak dipaksa bertahan namun ketumpulan barisan serangan Sabah menyelamatkan keadaan dan keputusan itu kekal hingga tamat permainan.

Oleh: MOHD. TAUFEEK RAZAK

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QL8iLBod © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 16 November 2016

Perak beri masa sebulan

ARKIB : 18/03/1999
PENGURUSAN bola sepak Perak memberi tempoh sebulan kepada tiga pemainnya untuk pulih daripada kecederaan jika tidak mahu mereka melupakan saja hasrat untuk menyarung jersi skuad Seladang musim ini.

Amaran itu disuarakan pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar kerana menyedari pelaburan yang dibuat ke atas Domi Che Non, L. Suresh dan Talib Sulaiman dalam tempoh terdekat ini belum lagi menampakkan hasil.

Ternyata keresahan dan kesabaran Perak terhadap ketiga-ketiga pemain berkenaan sudah sampai ke kemuncaknya apatah lagi saingan Liga Perdana Satu akan bermula hujung minggu ini.

''Saya beri tempoh sebulan kepada mereka dan jika tidak juga pulih, saya percaya mereka mungkin berdepan masalah besar daripada pihak pengurusan,'' ujarnya.

Dengan seorang lagi ayam tambatan baru Perak iaitu Samsurin Abdul Rahman baru saja menjalani pembedahan di kaki, Raja Ahmad mungkin baru menyedari beliau terbeli 'ayam tempang' rupanya.

Pastinya, langkah membawa Domi dan Shamsurin adalah pelaburan yang paling mengecewakannya kerana dua pemain inilah yang diharapkan untuk memperkukuhkan lagi barisan skuad Seladang musim ini.

Malangnya kedatangan mereka membawa masalah pula kepada pengurusan Perak apatah lagi terpaksa menunggu mereka benar-benar pulih daripada kecederaan.

Berikutan keadaan itu, Perak kini hanya meletakkan harapan tentunya kepada pemain-pemain musim lalu untuk mengharungi cabaran awal Perdana Satu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4QAlSmmkT © Utusan Melayu (M) Bhd


Perak, Johor buka persaingan

ARKIB : 14/03/1999
WAN Hashim (kanan) dan Mosthakeen Omar (kiri) berbincang sesuatu sambil diperhatikan oleh dua pegawai bola sepak Kelantan di Kota Bharu semalam.

BIARPUN masing-masing beraksi dalam bahagian liga yang berbeza, pertembungan Perak dengan Johor pada perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Perak, Ipoh malam ini dianggap penentu awal kedua-dua pasukan dalam mengharungi kancah bola sepak Liga Malaysia, musim ini.

Perak beraksi dalam Perdana Satu manakala Johor dalam Perdana Dua tetapi masing-masing mahu memburu kemenangan merebut piala sulung itu, piala yang dianggap memberi ''nafas pemula'' untuk menghadapi kempen mencabar.

Kedua-dua pasukan tidak akan bertemu sepanjang aksi Liga Perdana musim ini tetapi kebarangkalian mereka bertarung lagi ialah dalam Piala FA atau Piala Malaysia.

Apa pun, pertarungan malam ini turut bakal menyaksikan pertembungan taktik dan teknik dua jurulatih asing yang diiktiraf berwibawa.

Karl Heinz Weigang dan Steve Darby sebenarnya bersaing dari segi itu, yang mungkin musim ini menggunakan pendekatan baru menghadapi Liga M, dan Piala Sumbangsih adalah ujian pertama masing-masing.

Weigang, jurulatih dari Jerman, menamatkan kemarau 28 tahun Perak merangkul Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu, yang ketika itu dibimbing jurulatih kebangsaan ketika ini Abdul Rahman Ibrahim, 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Disember lalu.

Kejayaan manis itu pasti dijadikan inspirasi buat Weigang dan pemain-pemain skuad Seladang untuk mengekalkan prestasi dan reputasi cemerlang mereka musim ini.

Manakala Darby yang membimbing Johor merangkul Piala FA, sudah tentu mempunyai misi serupa Weigang, memastikan skuad Jengking menjulang Piala Sumbangsih sebagai tanda bahawa mereka benar-benar serius memastikan kebangkitan pasukan, musim ini.

Johor, juara Piala Malaysia 1985 dan 1991, beraksi pada perlawanan Sumbangsih kali pertama pada 1986, menewaskan Singapura menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 pada permainan biasa.

Johor gagal mengulangi kejayaan merangkul piala itu pada 1992 apabila tewas 1-2 kepada Pahang.

Berdasarkan pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam Piala FA musim lalu, rekod Johor, yang menewaskan Sabah 1-0 di Likas pada perlawanan akhir Piala FA, dengan Perak memang memihak kepada skuad selatan itu.

Pasukan Darby menang 3-1 pada perlawanan pertama suku akhir tetapi tewas 1-2 di tempat sendiri tetapi sudah cukup bagi Johor mara ke separuh akhir dengan agregat 4-3.

Dengan barisan pemain yang ada, tidak syak barisan pemain Johor di bawah pengurusan Ahamad Mohamed lebih berwibawa kerana mempunyai ramai bekas pemain kebangsaan - Azmil Azali, Rizal Sukiman, Rosdee Sulong dan Idris Karim.

Keseriusan Johor musim ini jelas apabila mereka mengambil tiga lagi bekas pemain kebangsaan, Hashim Mustapha dari Kelantan, Liew Kim Tu dan M. Chandran dari Kuala Lumpur.

Begitu pun, walau tanpa pemain berstatus bintang kebangsaan, Perak tetap dilihat berbahaya dengan adanya barisan pemain negeri yang membantu Perak merangkul Piala Malaysia musim lalu seperti V. Saravanan, Lim Seng Kong, Azrul Amri Burhan dan Roslan Hamid.

Skuad di bawah pengurusan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar itu tidak ketinggalan memantapkan pasukan apabila turut mengambil pemain baru, bekas pemain kebangsaan Shamsurin Abdul Rahman dari Sarawak, penyerang lincah Kuala Lumpur, Meor Nor Shamsul Kamal dan pemain tengah, Azlan Meri.

Ditambah dengan sokongan padu yang bakal diterima daripada penyokong sendiri di Stadium Perak, skuad Seladang itu sebenarnya menjadi pilihan untuk merangkul Piala Sumbangsih ini.

Apa pun, pertarungan merebut piala yang dipertandingkan sejak 1986 ini adalah sebagai tanda bahawa kempen menarik Liga Malaysia 1999 yang kini tanpa bintang-bintang import, bermula dengan rasminya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QA5o1UxW © Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 12/03/1999
Singa Utara sudah dapat keyakinan baru
PERLIS menganggap kejayaan pertama pada perlawanan pembukaan bola sepak Piala FA, Selasa lalu memberikan keyakinan baru bagi menghadapi saingan yang lebih mencabar dalam Perdana Dua yang bermula 19 Mac ini, lapor ZAID MOHD. NOOR.

Jurulatih pasukan Perlis, Tajudin Nor berkata, semangat para pemain yang dibimbingnya kini semakin tinggi selepas menewaskan Tentera 3-1 pada pertemuan pertama, Selasa lalu.

''Kemenangan itu menjadi suntikan baru kepada pemain-pemain Perlis untuk berjuang dalam Liga Malaysia dan Piala FA,'' ujarnya.

Menurut Tajudin, beliau mengharapkan barisan pemain muda Perlis dapat meningkatkan prestasi mereka untuk memastikan kemenangan pada perlawanan berikutnya selepas ini.

Pada masa yang sama, Tajudin menyeru para pemain utama agar berusaha mengelakkan kecederaan serius.

Beliau berkata, kecederaan mungkin hanya menjejaskan rentak dan strategi yang diatur dalam sesi latihan sebelum ini.

''Saya hanya mengharapkan agar kesebelasan pemain Perlis dapat beraksi dalam setiap perlawanan Liga Malaysia dan Piala FA tanpa mengalami kecederaan serius.

''Kecederaan pemain terbabit boleh menjejaskan persembahan seperti yang telah diatur dalam latihan sebelum ini,'' katanya ketika ditemui Sukan Utusan di Stadium Utama Kangar, semalam.

Tajudin yang juga bekas jurulatih Pahang dan Melaka berkata, beliau akan memastikan pemain-pemain simpanan Singa Utara itu mempunyai prestasi yang tidak kurang hebatnya dengan para pemain utama.

Sehubungan itu, jelasnya, beliau akan turut memberi penekanan kepada pemain-pemain simpanan dalam latihan supaya jarak dan tahap prestasi mereka tidak jauh daripada pemain- pemain utama lain.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4QA4NuaxR © Utusan Melayu (M) Bhd

Semangat Yop berkobar semula

ARKIB : 09/03/1999
KEYAKINAN pemain bola sepak Perak kini semakin kukuh selepas soal kelewatan kerajaan negeri membayar ganjaran RM25,000 tidak lagi menghantui fikiran mereka.

Sebaliknya mereka kini boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada persiapan skuad Seladang dalam menghadapi perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor di Stadium Perak, Ipoh, 14 Mac ini.

Mereka menyifatkan pemberian wang oleh kerajaan negeri Perak itu perlu dijadikan suntikan semangat bagi mencipta pencapaian lebih baik pada musim ini.

Beberapa pemain yang ditemui di Grik semalam ternyata lega dengan pembayaran ganjaran itu apatah lagi ia memang diharapkan dalam kegawatan ekonomi sekarang.

Seorang pemain, Chan Wing Hoong berkata, wang yang diperoleh itu akan dipergunakan untuk keluarganya.

''Saya juga akan membuat simpanan dalam bank untuk masa depan,'' kata Wing Hoong.

Dia berkata, ganjaran itu berjaya memberi satu suntikan baru dalam mengatur pelbagai strategi untuk menewaskan pasukan lawan dalam setiap perlawanan.

Seorang lagi pemain, Azrul Amri Burhan pula berkata, dia belum mempunyai rancangan untuk membelanjakan wang yang diterimanya itu.

''Ganjaran itu amat menyeronokkan saya dan pemain lain,'' katanya.

Manakala penjaga gol, Zamri Mat Ariff berkata, apa yang dilakukan itu, menunjukkan Tan Sri Ramli prihatin terhadap kebajikan pemainnya.

''Soal lambat dan cepat memberi ganjaran adalah perkara biasa, yang penting pemain telah diberi suntikan baru,'' katanya.

Sehubungan itu, Zamri berharap rakan-rakannya menanam tekad 'kita mesti menang dalam setiap perlawanan bermula dari Piala Sumbangsih' nanti.

Semalam, kesemua pemain Perak telah diraikan dalam satu majlis di Dewan Bandaran Gerik oleh peminat tempatan.

Turut menyambut mereka ialah Pegawai Daerah, Ismail Dolah Harun, Ahli Dewan Undangan Temenggor, Ahli Dewan Undangan Negeri, Mokhtaruddin Mohd. Kaya dan ADUN Kenering, Khamsiyah Yeop.

Mereka membawa Piala Malaysia ke kawasan Hulu Perak, bermula di Lenggong ke Pengkalan Hulu sebelum tiba di Gerik.

Oleh: ABD. RAZAK OSMAN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Q9lk9HlW © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 13 November 2016

Skuad Perak belatih di Vietnam

ARKIB : 10/02/1999
KETIKA pasukan lain sekadar menjalani latihan di dalam negara kesan kegawatan ekonomi, Perak khabarnya bercadang untuk mendedahkan pemain-pemainnya di luar negara, lapor MOHD. TAUFEK RAZAK.

Sukan Utusan difahamkan Vietnam yang pernah dibimbing Karl Weigang satu ketika dulu menjadi pilihan utama skuad Perak untuk mengadakan latihan dan beberapa perlawanan persahabatan.

Menurut sumber yang rapat dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PFA), seramai 21 pemain akan menyertai latihan di Vietnam itu yang boleh dianggap 'kampung kedua' jurulatihnya yang berasal dari Jerman, Karl Weigang.

''Selain mengadakan persiapan di sana, pemergian ke Vietnam ini juga boleh dianggap sebagai hadiah kerana menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

''Setakat ini, 21 pemain yang sudah pun menandatangani kontrak dengan Perak dan mereka inilah yang akan dipertaruhkan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini,'' ujarnya.

Kesemua pemain telah pun menandatangani kontrak bersama Perak termasuk dua muka baru iaitu Domi Che Non dan Shamsurin Abd. Rahman dan seorang pemain yang dipilih daripada skuad pelapis Perak, Mohd. Shahril Nizam.

Manakala lain-lain pemain telah dikekalkan kecuali Khairul Anuar Baharom yan berhijrah ke Negeri Sembilan dan Mat Zahir Wahab ke Selangor.

Skuad Perak dijangka akan berada di Vietnam selama 11 hari di mana mereka akan berlepas pada 17 Februari dan akan pulang pada 28 Februari.

Perak dijadualkan akan menentang Johor pada perlawanan pembukaan Liga Perdana pada 13 Mac depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4PsrtwF7s © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 11 November 2016

Perak julang Piala Malaysia


 

ARKIB : 13/12/1998
PEMAIN Perak, Azrul Amri Burhan (depan) cuba mengawal bola dalam perebutan dengan dua pemain Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Perak menang menerusi tendangan penalti 5-3.

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Perak muncul sebagai juara Piala Malaysia selepas ia menewaskan Terengganu 5-3 menerusi tendangan penalti pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Kejayaan ini merupakan kali kedua Perak merangkul piala keagungan bola sepak negara selepas menjulangnya buat pertama kali pada 1970.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 90 minit permainan dan seri tanpa jaringan pada masa tambahan 30 minit.

Perak memperoleh gol penalti menerusi Roslan Hamid, Khairul Anwar, Lim Seng Kong, Chan Kok Heng dan Janus Kcrecka.

Bagaimanapun Terengganu gagal memanfaatkan peluang jaringan apabila menyaksikan sepakan Badrul Hisham Abdullah tersasar keluar dari gawang.

Sebelum itu, jaringan penalti Terengganu dihasilkan oleh Anuar Jusoh, Jean Nyima dan Rosadi Wahab.

Terengganu belum pernah mengukir sebarang kemenangan Piala Malaysia selepas sekadar muncul naib juara sebanyak dua kali pada 1973 dan 1982.

Perak kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada tahun 1970 dan kemenangan semalam merupakan buat kali kelima selepas 1926, 1931, 1957, 1967 dan 1970.

Selepas beraksi pada masa tambahan 30 minit, kedua-dua pasukan masih gagal menghasilkan gol sehingga membawa kepada sepakan penalti.

Sebelum itu, kedua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 menamatkan kancah saingan sengit 90 minit. Perak membuka tirai jaringan pertama menerusi jaringan V. Saravanan pada minit ke-58 sebelum Mohd Noor Derus menyamakan kedudukan pada minit ke-83.

Situasi itu memaksa perlawanan dilangsungkan pada masa tambahan sudden-death.

Perak yang diilhamkan oleh jurulatih dari Jerman, Karl Heinz Weigang nyata garang sebaik babak bermula menerusi gandingan serangan mantap V. Saravanan dan M. Nagaraja.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PgdegkbA © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 10 November 2016

Janji Perak, Terengganu

ARKIB : 12/12/1998
JURULATIH bola sepak Perak, Karl Heinz Weigang menjanjikan aksi paling bermutu tinggi bakal dipamerkan oleh kesebelasan terbaiknya untuk berhadapan dengan kekentalan Terengganu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

Malah jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim turut membayang aksi terbaik daripada anak buahnya untuk melayani kekentalan Perak.

''Dua pasukan yang tidak diberikan sebarang harapan mara ke akhir hingga mengejutkan semua peminat. Perlawanan akhir malam esok (malam ini) akan membuktikan era baru bola sepak Malaysia bakal bermula'' katanya.

Beliau membayangkan pertembungan dramatik tanpa kedua-dua pasukan membariskan pemain bergelar 'bintang' bakal mencetuskan permainan bermutu tinggi.

Buat jurulatih kebangsaan itu, aksi perlawanan akhir jelas berbeza namun ia tidak memberikan sebarang tekanan kepada barisan pertama yang akan diturunkan.

Bagi Weigang yang belum reda dengan insiden pergaduhan dengan penyerang utamanya, Laszlo Repasi beberapa hari lalu namun Weigang nampak tenang.

Yang pastinya Repasi tidak akan membarisi kesebelasan utama malam ini. Sewaktu sesi latihan akhir skuad Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam kelibat pemain itu tidak kelihatan.

''Antara saya dan Rahman sudah saling mengenali. Empat tahun bersama rasanya tiada sebarang yang menjadi rahsia,'' jelas Weigang di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Katanya, beliau yakin barisannya paling mantap bakal diturunkan selain aksi terbaik daripada skuad Perak.

''Saya tahu kekuatan Terengganu. Sudah tentu Rahman sudah membaca apa yang saya akan lakukan dan saya juga agak apa yang akan beliau lakukan,'' jelas Weigang.

Sementara itu, Abdul Rahman tidak langsung berminat perkembangan terkini yang melanda skuad Perak.

''Yang penting, pasukan saya akan cuba memberikan persembahan terbaik. Corak permainan yang bermutu tinggi mengidam untuk menang.

''Saya hormati Weigang kerana dia adalah guru saya. Pengalamannya lebih berbanding saya memang saya harapkan perlawanan akhir bermutu tinggi malam esok (malam ini),'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PcL3xxin © Utusan Melayu (M) Bhd

Karl Weigang, Repasi bergaduh

ARKIB : 10/12/1998
IBARAT gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletup, begitu jugalah rahsia yang selama ini cuba ditutup oleh pengurusan pasukan Perak, akhirnya terbongkar jua.

Hakikatnya, ketegangan hubungan antara jurulatih Karl Weigang dan penyerang import, Laszlo Repasi sampai ke kemuncaknya petang kelmarin apabila mereka terbabit dalam satu pergaduhan.

Kejadian yang berlaku di bilik persalinan pada pukul 5 petang itu ternyata mengejutkan terutama ketika Perak sedang membuat persiapan rapi menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Bukit Jalil, 12 Disember ini.

Lebih malang, kejadian itu mendorong Repasi membuat laporan di Balai Polis Ipoh pada pukul 8 malam hari yang sama selepas mendakwa mengalami kecederaan leher.

Malah dia juga telah melantik sebuah firma guaman, Naran Singh & Co. untuk membawa perkara ini dan Weigang ke mahkamah.

Repasi ketika dihubungi mengesahkan dia diserang sebanyak dua kali oleh Weigang ketika cuba menyatakan hasratnya untuk beraksi dalam perlawanan akhir.

Bagaimanapun katanya, Weigang bertegas tidak menyenaraikannya dengan alasan dia bukan lagi pemain Perak.

''Ketika saya bangun untuk ke padang, Weigang meluru dan mencekik saya menyebabkan saya tidak dapat bernafas. Pegawai fisioterapi, See Kim Leong yang melihat kejadian itu cuba membantu tetapi ditolak Weigang sebelum dia sekali lagi menyerang saya,'' jelasnya.

Hubungan renggang antara dua personaliti berpengaruh dalam pasukan Perak itu sebenarnya bukan lagi rahsia di kalangan pemain dan wartawan tempatan.

Cuma ia tidak mahu diperbesar-besarkan bagi menjaga hati pengurusan pasukan di samping tidak mahu menjejaskan tumpuan pemain-pemain lain yang begitu mengidamkan Piala Malaysia.

Difahamkan, punca Weigang benci kepada Repasi bermula apabila pemain itu dikatakan sengaja memberi alasan cedera agar tidak diturunkan dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia yang lalu.

Berikutan itu, Repasi tidak pernah diturunkan dalam empat perlawanan terakhir termasuk dalam perlawanan separuh akhir menentang Negeri Sembilan.

Dengan perkembangan terbaru ini juga bermakna, nama Repasi boleh dikatakan sudah pun tercicir daripada senarai pemain untuk perlawanan akhir angkara sikap buruk beliau sendiri.

Jurucakap polis di Ipoh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan Repasi itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Oleh: MOHD. TAUFEK RAZAK

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Pc42SzkR © Utusan Melayu (M) Bhd

Pemain Perak cukup cergas

ARKIB : 06/12/1998
SEMUA pemain Perak lulus dalam ujian kecergasan yang dikendalikan jurulatih Karl Weigang selama lebih empat jam semalam sekali gus menyaksikan saingan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan itu masih terbuka luas.

Dengan tiada sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini, setiap pemain Perak jelas memperlihatkan persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika menghadapi Terengganu pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, 12 Disember ini.

Apa yang menjadi pegangan Weigang, setiap pemain berpeluang beraksi pada perlawanan akhir itu nanti jika dapat menunjukkan kemampuan tinggi dalam semua segi.

''Ujian kecergasan hari ini (semalam) penting untuk menentukan barisan kemungkinan kesebelasan utama pasukan ini pada perlawanan akhir nanti.

''Saya harap, selain menguji kecergasan, pemain dapat mengenal pasti kelemahan yang mereka ada untuk diperbaiki menjelang perlawanan sebenar,'' ujarnya ketika ditemui selepas latihan di Stadium Perak, semalam.

Ketiadaan kecederaan ternyata memberi Weigang banyak pilihan untuk mempelbagaikan kombinasi pemain yang dirasakan perlu dan mantap seperti mana yang dilakukan ketika menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di separuh akhir kedua, minggu lalu.

Ketika itu, Weigang tidak menurunkan tiga pemain utamanya termasuk Lim Seng Kong yang akhirnya menjadi wira dengan gol kemenangan selepas dibawa masuk di separuh masa kedua.

Hari ini, semua pemain Perak diberi cuti rehat sebelum menjalani latihan esok

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4PbxG2Qrp © Utusan Melayu (M) Bhd

Penyu jangan mendabik dada - Kok Heng


 

ARKIB : 02/12/1998
PEMAIN import Perak, Janos Krecska (kanan depan) berlatih bersama rakan sepasukan di Ipoh, semalam menjelang perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 12 Disember ini. - Gambar MOHAMAD HASHIM.

BERDASARKAN rekod pertemuan lalu, Terengganu jelas mempunyai sebab tersendiri untuk mengatakan mereka lebih berhak membawa pulang gelaran sebagai juara Piala Malaysia musim ini.

Namun jika itu anggapan skuad Penyu, mereka sebenarnya tersilap jangkaan kerana kesebelasan pemain Perak yang akan dihadapi pada perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil, 12 Disember ini berbeza dari segi semangat dan komitmen.

Ini ditegaskan oleh pemain paling senior dalam skuad Seladang, Chan Kok Heng yang menyifatkan rekod pertemuan pada tahun 1997 bukan pencapaian yang boleh dijadikan ukuran.

Beliau yang sudah 10 tahun setia menyumbangkan tenaga kepada pasukan ini menegaskan keadaan kini berbeza kerana pertemuan kali ini adalah perlawanan akhir Piala Malaysia dan bukannya perlawanan liga atau Piala FA.

''Skuad Perak kali ini jauh berbeza berbanding tahun 1997 di mana pemain-pemain yang ada sekarang mempunyai semangat dan komitmen yang lebih tinggi berbanding dahulu.

''Setiap pemain jelas tidak mahu melepaskan peluang untuk menjuarai Piala Malaysia ini buat kali pertama sejak 1970 dan keazaman itulah yang akan mengiringi kami ke Stadium Bukit Jalil nanti,'' tegasnya yang juga bekas ketua pasukan Perak pada 1997.

Perak pada tahun itu tidak pernah menang dalam empat pertemuan mereka dengan Terengganu sama ada dalam perlawanan Liga Perdana mahu pun dalam persaingan Piala FA.

Skuad Seladang hanya mampu seri dua kali dan kalah juga dua kali. Mereka seri 1-1 di Kuala Terengganu dan kalah 1-2 di Ipoh dalam perlawanan liga.

Dalam perlawanan timbal balik Piala FA, Perak juga seri 0-0 di Kuala Terengganu dan kemudiannya tewas menerusi sepakan penalti 3-4 selepas terikat 0-0 dalam 90 minit permainan di Kuala Lumpur ketika itu.

Tahun ini, kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu kerana Terengganu bermain dalam Bahagian Dua manakala Perak dalam Bahagian Satu. Lebih menarik, kedua-dua pasukan adalah naib juara kumpulan masing-masing pada persaingan peringkat awal Piala Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PbXxutFR © Utusan Melayu (M) Bhd

Seladang bukan pasukan belasahan

ARKIB : 30/11/1998
KEJAYAAN Perak melangkah ke final Piala Malaysia mengesahkan kebangkitan pasukan itu sekali gus menafikan tanggapan banyak pihak di awal musim bahawa skuad Seladang adalah pasukan belasahan, lapor RAMLI ABDUL KARIM.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PFA), Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata, selaku pasukan under dog yang langsung tidak diberi harapan selama ini, kejayaan itu adalah bukti Perak berupaya mencatat kejutan.

Menurutnya, reputasi skuad Seladang tenggelam ekoran persembahan tidak konsisten dalam Piala FA dan persaingan dalam Liga Perdana Satu musim ini.

''Kemenangan malam tadi (kelmarin) merupakan sesuatu yang paling berharga buat Perak. Ia juga penjelasan terbaik kepada mana- mana pihak yang selama ini memandang rendah pasukan ini bahawa mereka sebenarnya telah tersilap langkah,'' katanya kepada pemberita di Pasir Salak, semalam.

Selepas terikat agregat 2-2 di Seremban minggu lalu dan 0-0 sepanjang 90 minit di Stadium Perak, kelmarin, Lim Seng Kong meranapkan impian Negeri Sembilan menerusi jaringan emasnya pada minit ke-6 masa tambahan sudden death.

Perak akan bertemu Terengganu dalam perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil pada 12 Disember ini. Terengganu mengaibkan Sabah dengan agregat 4-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Ramli yang juga Menteri Besar percaya setiap pemain telah digarap dengan semangat sepasukan tinggi yang menjadi faktor utama kepada kejayaan itu.

Mengenai perlawanan akhir, Ramli berkata, pemain harus melupakan seketika soal ganjaran yang dijanjikan sebaliknya menumpukan perhatian menghadapi Terengganu.

Menurutnya, tugas yang lebih penting kini ialah memastikan penantian Perak selama 28 tahun untuk membawa pulang Piala Malaysia berakhir pada 12 Disember ini.

''Saya ulangi bahawa ganjaran tetap ada. Tetapi saya tidak mahu ia mengganggu tumpuan pemain. Biarlah Piala Malaysia sah menjadi milik Perak terlebih dulu,'' tegasnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PbRwYQmR © Utusan Melayu (M) Bhd