ARKIB : 09/10/2007
IPOH Perak menyenaraikan enam
pemain muda bagi menghadapi saingan bola sepak Liga Super yang bermula pada
bulan November akan datang.
Pemangku Presiden Persatuan
Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Mohammed Mahiyuddin Abdullah berkata, lima pemain
Piala Presiden dan seorang pemain Piala Belia telah dinaikkan pangkat pada
musim depan.
Penjaring terbanyak Piala
Presiden, Razali Umar Kandasamy yang berjaya menyumbatkan 31 gol dalam 34
perlawanan antara pemain Piala Presiden yang dinaikkan pangkat.
Empat pemain Piala Presiden
yang lain adalah Mohd. Fauzi Ariffin, Arif Fazli Saidi, Ahmad Fakri Saarani dan
Kamarul Effandy Abd. Ramli.
Pemain Piala Belia, Mohd. Noor
Hazrul Mohd. Mustafa turut disenaraikan dalam Liga Super.
Selain itu Mahiyuddin turut
mengumumkan bahawa ketua pasukan Telekom Melaka, Mohd. Hardi Jaafar dan bekas
pemain kebangsaan, Mohd. Noor Ismail turut menyertai skuad Seladang.
Hardi dan Mohd. Noor setuju
beraksi dengan skuad Seladang dan kedua- dua pemain berkenaan sudah memulakan
latihan sejak seminggu lalu, katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Perak
akan memulakan latihan intensif di bawah pengawasan jurulatih, Steve Darby
selepas Hari Puasa nanti.
Pemangku Presiden PAFA itu
membayangkan bahawa Perak mungkin menggunakan dua pemain import sahaja pada
musim akan datang.
Katanya, Keita Mandjou dari Republik
Guinea dan Traore Abdoulaye dari Burkina Faso sudah cukup untuk memantapkan
skuad Seladang kelak.
Mandjou muncul sebagai
penjaring terbanyak Liga Suoer selama dua tahun berturut-turut dikekalkan dalam
skuad Seladang bersama-sama Abdoulaye semusim lagi.
Namun begitu, pemain pertahanan
dari Crotia, Vedran Kukoc diketepikan kerana masalah kecederaan yang
berpanjangan.
Dalam perkembangan lain,
Pemangku Presiden PAFA menafikan persatuan tersebut sedang menghadapi masalah
kewangan.
PAFA mampu membayar gaji para
pemain Liga Super, Piala Belia dan Piala Presiden sepanjang tahun 2008 akan
datang, jelas Mahiyuddin.
Kewangan PAFA masih kukuh
kerana mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4viYU9RdG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan