Khamis, 23 Mac 2017

Perak, Kedah di landasan juara berganda



ARKIB : 07/05/2002
MUNGKIN terlalu awal untuk meletakkan saingan suku akhir Piala FA malam ini sebagai penentu dalam memilih pasukan mana akan menjadi juara musim ini.

Atas kertas, tiada siapa berani menafikan kedudukan Perak yang semakin kukuh di persada Liga Perdana Satu ketika ini berjaya meletakkan pasukan itu dalam kelas yang tersendiri.

Kejayaan menewaskan Selangor 3-0 di Stadium Perak, kelmarin membuktikan pasukan bimbingan Tony Netto itu sudah bersedia diletakkan sebagai pilihan utama untuk menjuarai Piala FA kali ini.

Malah jika dicongak peluang antara lapan pasukan, Perak dilihat mempunyai peluang cerah untuk meraih gelaran juara berganda musim ini - Liga Perdana Satu dan Piala FA.

Tetapi apakah itu akan menjadi kenyataan? Pastinya pasukan lain yang mencemburui kemampuan Perak musim ini tidak membenarkan ianya berlaku.

Juara Piala Malaysia, Terengganu yang akan ditentang Perak di suku akhir pertama malam ini, sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah.

Tercicir di tangga ketujuh liga, harapan Terengganu kini hanyalah pada Piala FA bagi memulihkan imej yang semakin tercalar selaku pasukan yang disegani.

Namun jika prestasi semasa diambil kira, ternyata semangat Terengganu bagai direntap-rentap oleh badi kekalahan.

Sebelum ke suku akhir, Terengganu tewas 1-2 kepada Kelantan tetapi layak menerusi agregat 4-2 dan terbaru mereka dibelasah Pulau Pinang 3-0 dalam saingan Liga Perdana Satu kelmarin.

Menyedari sukar mengejar Perak di persada liga, pasukan bimbingan Mat Zan Mat Aris ini mungkin menyimpan tenaga untuk perlawanan suku akhir malam ini sebagai bekalan kukuh sebelum bertandang ke tempat lawan pada 4 Jun nanti.

Selain Terengganu, pasukan seperti Pulau Pinang juga mampu menyekat laluan Perak untuk muncul juara berganda musim ini.

Pertemuan dengan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi dijangka tidak banyak menimbulkan masalah bagi Pulau Pinang.

Apatah lagi, Negeri Sembilan ketika ini sedang melalui era kemerosotan termasuk ditimpa kekalahan memalukan 9-0 dengan Pahang, minggu lalu dan 1-3 dengan Sabah, kelmarin.

Jika tidak pun Pulau Pinang, satu lagi pasukan iaitu Kedah turut berpeluang menyekat laluan Perak.

Malah pertemuan antara pendahulu Liga Perdana Satu dan Perdana Dua ini memang amat dinanti-nantikan kerana masing-masing sedang memburu gelaran berganda musim ini.

Apa yang menarik, jika kedua-dua pasukan layak ke perlawanan akhir Piala FA nanti, selain memburu kejuaraan berganda, masing-masing terpaksa turun tanpa penyerang utama iaitu Khalid Jamlus (Perak) dan Akmar Rizal (Kedah) yang diterbangkan FAM ke Jerman untuk pendedahan.

Namun Kedah perlu mengatasi cabaran Sabah terlebih dulu yang mengetepikan Selangor di pusingan kedua lalu dengan kemenangan agregat 4-3.

Satu lagi perlawanan suku akhir menyaksikan pertemuan dua pasukan kelab, Public Bank dan Telekom Melaka yang dilihat sedikit menyempitkan peluang pasukan kelab untuk layak ke perlawanan akhir Piala FA buat kali pertama dalam sejarah pertandingan itu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4c9e3I1b0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan