ARKIB : 11/10/2004
RAJA Muda Perak, Raja Nazrin Shah
turut bersama-sama pemain dan pegawai di atas pentas hadiah untuk
meraikan kejayaan pasukan Perak memenangi Piala FA setelah menewaskan
Terengganu dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil,
malam tadi. Perak menang 3-0.
|
PERAK 3
Luciano Goux (104)
Khalid Jamlus (106, 110)
TERENGGANU 0
Oleh AMRAN MULUP
PERAK terpaksa menanti sehingga ke masa tambahan sebelum dinobatkan selaku juara Piala FA edisi ke-15 buat kali kedua selepas menewaskan juara tahun 2000, Terengganu 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Kemenangan paling manis buat Perak sebelum dinobatkan sebagai juara buat kali kedua selepas melakukannya pada 1990 terpaksa berhempas pulas hingga mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Pemain pertahanan dari Argentina, Luciano Goux membuka jaringan pada minit ke-104, disusuli dengan dua jaringan melalui Khalid Jamlus pada minit ke-106 dan 110 menafikan hajat besar Terengganu untuk muncul juara.
Di hadapan kira-kira 60,000 penyokong, Perak yang pada mulanya tenggelam pada babak awal mempamerkan aksi menarik pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam saingan 90 minit.
Aksi bermula dengan asakan seawal minit pertama namun percubaan Norhisyam Hassan di depan kotak penalti ditolak keluar pertahanan Perak.
Keadaan bertambah rancak dengan aksi menarik skuad Penyu apabila Dos Santos pula melepaskan rembatan kencang pada minit kelima tetapi tidak menepati sasaran.
Perak jelas tenggelam seketika dengan asakan bertali arus Terengganu apabila Md. Shahrul Ezrain dan Santos melepaskan rembatan yang tidak menepati sasaran.
Skuad Kejor Yeop Kejor jelas tenggelam dengan gerakan agresif lawan namun peluang untuk mencipta jaringan hampir menjadi milik mereka dalam keadaan kelam kabut di pintu gol lawan, sepakan Ricardo Silva terus ke dakapan penjaga gol, Syamsuri Mustafa pada minit ke-31.
Enam minit selepas itu bekas pemain kebangsaan, Khalid hampir membuka tirai jaringan awal buat Perak namun sepakan kencangnya turut tersasar keluar.
Melihat Perak tertekan dengan asakan bertali arus, jurulatih Toni Netto membawa masuk pemain kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-41 bagi memperkemaskan bahagian tengah yang terumbang-ambing.
Pada minit ke-50 Perak hampir memecah kebuntuan tetapi sepakan percuma yang diambil oleh Ricardo Silva ditolak keluar oleh Syamsuri.
Terengganu nyaris mendapat gol pendahuluan apabila sepakan deras Zairo Anuar Zalani dari jarak 25 meter gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Perak, Mohd. Hamsani Ahmad tetapi sepakan susulan Dos Santos pula tersasar jauh pada minit ke-81.
Kebuntuan jaringan gol akhirnya memihak kepada Perak apabila Goux menolak masuk gol pertama pada minit ke-104.
Dua minit selepas itu Perak tambah selesa dengan jaringan kedua menerusi penyerang utamanya, Khalid yang menyambut bola muntah gagal ditangkap kemas penjaga gol Terengganu untuk terus merembat meng gegar jaring.
Khalid sekali lagi bertindak cemerlang untuk meledakkan jaringan kedua Perak pada minit ke-110 sekali gus menutup peluang Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan