Rabu, 12 Mei 2021

Tunggakan gaji pemain Perak dibayar hari ini

Noor Hidayah Tanzizi

am@hmetro.com.my



Khairul Shahril Mohamed

Bota: Perak FC akan membayar tunggakan gaji pemain kelab itu hari ini.

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, tunggakan gaji pemain tidak melebihi tiga bulan dan ia hanya membabitkan pemain Perak FC sahaja.

"Untuk Perak II FC kita memang tiada tunggakan (tetapi) untuk Perak FC kita ada tunggakan sikit tetapi tidaklah sampai tiga bulan.

"Esok (hari ini) kita akan selesaikan gaji yang tertunggak itu bagi memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan selesa.

"Saya tidak pasti (jika tunggakan diselesaikan sepenuhnya) tetapi banyak yang selesai kalau ada tunggakan pun seorang dua yang mungkin tertunggak sebulan. Saya akan cuba pastikan tunggakan tidak melebihi dua bulan," katanya ringkas ketika ditemui, malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak terus optimis Perak FC akan bangkit selepas tempoh rehat selama dua bulan hingga Julai depan.

Menurutnya, tempoh itu akan dimanfaatkan untuk memperbaiki pelbagai aspek dalam pasukan bagi memastikan skuad The Bos Gaurus kendalian Chong Yee Fatt menampilkan aksi terbaik dalam liga selepas ini.

"Masalah kita masih lagi berkaitan kewangan dan kita juga sedang berusaha untuk mencari formula terbaik untuk masalah itu. Perak FC tidak duduk saja tetapi kita ada perancangan, cuma tidak boleh dimaklumkan kepada umum.

"Kita faham perasaan peminat yang sayangkan pasukan bola sepak Perak dan risaukan keadaan ketika ini, saya tidak salahkan mereka kerana keadaan kita memang agak kurang baik kali ini.

"Tetapi kita sedang berusaha dengan pelbagai cara bagi memastikan dalam tempoh dua bulan ini kita akan cari formula yang terbaik," katanya.

Khairul Shahril berkata, dia mempunyai keyakinan dengan barisan pemain sedia ada biarpun tanpa tonggak pasukan untuk terus mengharungi baki perlawanan liga.

"Saya juga berasa agak ralat kerana kehilangan beberapa tonggak tetapi apa pilihan kita ada.

"Sebenarnya Perak ini kelebihan kita mempunyai 'ubi muda' (pemain muda) yang hebat kalau lihat perlawanan lalu. Saya yakin boleh mengharungi baki liga dengan pemain sedia ada," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga sedang melihat pro dan kontra berhubung peletakan jawatan Rizal Ali Naizali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Isnin lalu."Saya lihat ada pro dan kontra apabila sebelum ini dia (Rizal) didesak seolah-olah untuk meletak jawatan tetapi apabila mengumumkan peletakan jawatan itu ada pula komen menyatakan beliau mahu lari daripada tanggungjawab dan banyak perkara belum selesai, jadi kita sedang melihat perkara ini," katanya.Disiarkan pada: Mei 12, 2021 @ 8:51am.1

_______________________________________

Hafizul Hakim dilamar tiga kelab

 11 Mei 2021



Hafizul Hakim (kanan) antara pemain berpengalaman yang membarisi Perak FC musim ini. - Foto FB Perak FcPENJAGA gol Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengesahkan dilamar tiga pasukan yang beraksi dalam Liga Super pada musim ini, masing-masing pasukan dari pantai timur, Lembah Klang dan selatan tanah air.
Bagaimanapun, Hafizul Hakim berkata, beliau masih berfikir dan berbincang dengan keluarganya sebelum membuat sebarang keputusan.
"Bukan senang untuk saya tinggalkan Perak yang merupakan negeri kelahiran saya sendiri, cuma saya kena fikirkan masa depan dan keputusan sama ada kekal atau berhijrah akan dibuat dalam masa terdekat," katanya pada Selasa.
Sabtu lalu, Perak FC kehilangan kapten pasukan, Shahrul Saad dan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula yang berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala Kenny Pal Raj serta J Parthiban pula telah memuktamadkan keputusan menyertai KL City FC pada Isnin.
Dalam pada itu, Hafizul Hakim percaya akan ada lagi beberapa pemain utama bakal berhijrah ke pasukan lain memandangkan tiada kata putus yang konkrit dibuat pihak pengurusan bagi memastikan masalah gaji pemain dapat diatasi.
"Siapa yang akan keluar (daripada pasukan) saya tidak boleh dedahkan cuma keputusan yang akan diambil oleh mereka adalah disebabkan memikirkan tentang masa depan dan perjalanan karier," katanya.
Selain itu, beliau berkata, rata-rata tonggak utama mengambil keputusan 'angkat kaki' bukan semata-mata kerana kelewatan pembayaran gaji tetapi sikap pengurusan Perak FC yang tidak menghormati pemain.
"Mereka kecewa sampai ada (pengurusan) yang kata kalau tiada jiwa untuk bermain dengan Perak, boleh cari pasukan lain. Bagi saya ini bukan satu kenyataan yang bijak dalam keadaan pasukan terumbang-ambing," jelasnya. - Bernama
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/138178/BERITA/Sukan/Hafizul-Hakim-dilamar-tiga-kelab© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.1

____________________________________________________

1https://www.sinarharian.com.my/article/138178/BERITA/Sukan/Hafizul-Hakim-dilamar-tiga-kelab

Rabu, 31 Mac 2021

The Bos Gaurus tutup mulut pengkritik

 SUKAN



DE PAULA (dua dari kanan) meraikan jaringan kedua pasukan Perak FC ketika membantuThe Bos Gaurus ikat JDT 2-2 di Stadium Perak, Ipoh kelmarin. – ZULFACHRI ZULKIFLI

The Bos Gaurus tutup mulut pengkritik

Oleh KOSMO!

23 Mac 2021, 11:00 am

Oleh AZIZAN HASHIM

IBARAT ‘panas setahun terhapus dek hujan sehari’. Begitulah pepatah yang sesuai buat pasukan Perak FC apabila berjaya menampilkan aksi cemerlang ketika mengikat penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.

Pada perlawanan itu, tiada siapa yang mahu memberi peluang jurulatih, Chong Yee Fatt dan anak-anak buahnya dengan kata-kata semangat sebaliknya penuh dengan kecaman, namun skuad The Bos Gaurus tidak goyah apabila menampilkan aksi luar biasa.

Malah, tuan rumah turut berjaya mendahului perlawanan dengan jaringan 2-0 menerusi dua gol oleh Guilherme de Paula sebelum kelebihan tersebut terpadam hasil jaringan Akhyar Rashid dan penalti pada lewat perlawanan oleh Leandro Velazquez untuk keputusan 2-2 sehinngga wisel dibunyikan.

Terdahulu, De Paula dikecam dengan teruk oleh penyokong-penyokong susulan aksi hambar dipersembahkan, namun ledakan dua gol ketika menentang Harimau Selatan sudah pastinya membuka mata para peminat The Bos Gaurus.

Sebelum ini, persembahan Perak FC amat longlai apabila empat perlawanan awal iaitu menentang PJ City, TFC dan KL City berakhir dengan kekalahan kecuali aksi bertemu Sri Pahang yang menang 2-0.

Memang kami beraksi di bawah tahap sebenar tetapi malam ini (semalam) pemain buktikan kemampuan dan perwatakan mantap mereka untuk menebus maruah tercalar.

Saya berbangga dengan persembahan setiap anggota pasukan,” kata ketua jurulatih Chong Yee Fatt.

Yee Fatt mengakui moral dan semangat anak-anak buahnya memang rendah sebelum pertemuan dengan JDT berikutan dua kekalahan berturut-turut, namun usaha pegawai pasukan memberi motivasi dan perangsang sebelum turun ke gelanggang berjaya mengembalikan keyskian diri pemain Perak.

Keputusan ini cukup pen­ting. Walaupun hanya mengutip satu mata tetapi keupayaan menyekat JDT tetap satu kejayaan.

Saya berharap ia detik perubahan pasukan Perak dalam menghadapi kempen Liga M seterusnya,” katanya.SUMBER-KOSMO ONLINE

Rabu, 24 Februari 2021

Skuad Perak faham kesulitan Mehmet

 SUKAN



HAFIZUL HAKIM menjelaskan bahawa sebagai pemain profesional, siapa juga yang menjadi jurulatih bukan persoalan besar dan masalah.

Skuad Perak faham kesulitan Mehmet

Oleh KOSMO!

24 Februari 2021, 11:30 am

Oleh AZIZAN HASHIM

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah yang perasaan yang dirasai oleh penjaga gol utama Perak FC, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy apabila mengetahui ketua jurulatih, Mehmet Durakovic memutuskan untuk meninggalkan skuad The Bos Gaurus.

Hafizul berkata, tiada apa yang lebih penting daripada kesejahteraan ahli keluarga sendiri dan disebabkan itu dia faham dengan keputusan jurulatih berasal dari Australia tersebut.

Jika saya di tempat beliau (Mehmet), pasti akan melakukan perkara yang sama. Tiada kompromi apabila berkaitan dengan keluarga.

Saya faham apa yang dirasakan oleh jurulatih Mehmet apabila berjauhan dengan keluarga dan bersendirian di sini dalam keadaan dunia dilanda Covid-19.

Tiada apa yang kami mampu lakukan apabila mendengar penjelasan dan alasan daripadanya. Apa pun, kami doakan segalanya dipermudahkan,” kata Hafizul yang mengakui Perak kerugian besar dengan pemergian jurulatih itu.

Mengenai pengganti Mehmet iaitu Chong Yee Fatt pula, Hafizul yakin beliau memiliki pengalaman dan berupaya merencanakan persiapan pasukan bagi menghadapi Liga Super bermula 5 Mac ini.

Katanya sebagai pemain profesional, siapa juga yang menjadi jurulatih bukan persoalan besar dan sehubungan itu tidak nampak sebarang masalah.

Saya pernah dibimbing oleh Yee Fatt semasa beliau menjadi penolong jurulatih tetapi sebagai ketua jurulatih belum pernah,” ujarnya.SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE

Selasa, 23 Februari 2021

Terima kasih Yob!




MEHMET DURAKOVIC (kanan) bersama Khairul Shahril Mohamed dalam sidang akhbar penamatan kontrak sebagai Ketua Jurulatih Perak FC di Ipoh semalam. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

Oleh AZIZAN HASHIM

23 Februari 2021, 2:50 pm

IPOH: Tiada yang lebih penting selain daripada keluarga.

Itulah hakikat yang menyebabkan jurulatih berpengalaman, Mehmet Durakovic meminta untuk dilepaskan kerana ingin pulang ke Australia dan bersetuju kontraknya ditamatkan menerusi perbincangan bersama Perak FC sejak lebih seminggu lalu.

Keadaan tidak mengizinkan saya untuk berada lebih lama lagi di sini. Penularan pandemik Covid-19 membuatkan kehidupan saya susah kerana terpisah dengan keluarga.

Memang ini satu keputusan yang sukar dan berat tetapi saya lebih utamakan keluarga,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mehmet mengakui sukar bagi­nya meninggalkan skuad Bos Gaurus kerana telah bersama mereka selama empat musim.

Hubungan yang terjalin dengan pemain, pegawai dan persatuan begitu baik. Kami seperti satu keluarga dan saya sayangkan Perak tetapi realitinya saya terpaksa pilih keluarga sendiri bila perlu memilih antara dua.

Saya doakan mereka berjaya menempuhi kempen Liga Malaysia musim ini dengan gemilang,” ujar bekas pemain Selamngor itu.

Mehmet, 55, mengucapkan terima kasih kepada Perak FC kerana memahami keadaannya dan sudi menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan baik.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, penamatan kontrak itu adalah atas permintaan Mehmet sendiri dan persetujuan bersama penamatan kontrak jurulatih itu telah ditandatangani pada 19 Februari lalu.

Rundingan telah dijalankan selama lebih satu minggu dan pengurusan menghormati pendirian Mehmet yang memilih untuk kembali ke Australia. Ia merupakan satu keputusan yang sukar dan berat untuk kami putuskan.

Kami mengucapkan selamat berjaya kepada beliau kerana mahu bersama keluarganya di Australia adalah keutamaan beliau,” katanya.SUMBER UM ONLINE