Jumaat, 31 Mac 2017

Perak kembali kuasai liga



ARKIB : 11/06/2003
Pemain Pahang, Rosdi Talib (kanan) cuba dihalang oleh pemain Terengganu, Faziallah Mamat sewaktu perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darul Makmur Kuantan, semalam. Pahang menang 2-1. - Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.

JUARA bertahan, Perak kembali menguasai carta teratas bola sepak Liga Perdana Satu selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Kejayaan Seladang ke tangga teratas dibantu dengan kekalahan pendahulu sebelumnya, Kedah yang tewas besar 4-1 kepada Selangor di Shah Alam.

Kemenangan Perak semalam adalah yang pertama pada pusingan kedua selepas mencatat seri tiga kali berturut-turut.

Gol kemenangan Perak dijaringkan oleh Yusri Che Lah yang menanduk masuk bola hantaran Ahmad Shahrul Azhar minit ke-19.

Perak sepatutnya menang selesa 3-0 apabila mendapat dua sepakan penalti tetapi gagal disempurnakan oleh Khalid Jamlus minit ke-55 dan V. Saravanan minit ke-89.

Perak kini mengumpul 33 mata selepas 16 perlawanan, tiga mata di depan Kedah.

Di Stadium Shah Alam, Selangor tidak langsung memberi ruang buat Kedah untuk memburu gol sebaliknya Red Giants mudah mendahului 3-0 pada babak pertama.

D. Surendran menjaringkan dua gol minit ke-15 dan 34 diikuti jaringan Rudie Ramli (29) dan P. Gunalan (47).

Pasukan pelawat mendapat gol sa-guhati menerusi James Monie minit ke-84.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pasukan tuan rumah, Pahang menokok tiga mata selepas menumpaskan pasukan terbawah liga, Terengganu 2-1.

Begitupun, Pahang hampir tewas apabila dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Terengganu oleh Alfian Abd. Aziz minit ke-60.

Ketika perlawanan berbaki dua minit, pemain kebangsaan, Juzaili Samion menyamakan kedudukan pada minit ke-88 sebelum pemain import, Cristiano Pinheiro Da Silva menggembirakan penyokong tuan rumah dengan gol kemenangan minit ke-90.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah menambah duka Perlis yang tewas pada perlawanan akhir Piala FA lalu, dengan kemenangan 1-0.

Pemain import Sabah, Robert Mark Gaspar menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-74 untuk kemenangan ketujuh buat skuad Badak dan kekalahan keempat Perlis.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan berkongsi 25 mata.

Di Stadium Batu Kawan, jaringan Chaw Chee Weng pada minit terakhir perlawanan memberi kemenangan kelapan buat Pulau Pinang, menewaskan Telekom Melaka 3-2.

Pulau Pinang mendahului 2-0 menerusi jaringan Hasmawi Hassan (30) dan R. Suresh Kumar (32) tetapi pemain pelawat, Issac Kuffour mengikat kedudukan dengan dua gol (37 dan 52).

Di Stadium Pasir Gudang, Johor FC mengecewakan pasukan tangga ketiga sebelum ini, Sarawak dengan kemenangan 3-1.

Jon Ben Anggelucci terus menggegar jaring lawan dengan dua gol (60, 69) dan selepas gol pertama Johor FC dijaringkan Idris Karim (17).

Gol Sarawak dihasilkan oleh Robert Eshun (45).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cyeaMr6c
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan