ARKIB : 07/09/2002
PENYERANG lincah Perak, R.
Surendran meletakkan sebelah kaki pasukannya ke pintu suku akhir bola sepak
Sukma IX Sabah apabila mencipta hatrik ketika menewaskan Perlis 3-0 di Stadium
Universiti Malaysia Sabah (UMS), semalam.
Ia adalah kemenangan kedua Perak
daripada dua perlawanan untuk mendahului kedudukan Kumpulan C dengan enam mata,
tiga mata di atas juara Piala Presiden, Negeri Sembilan yang mereka kalahkan
pada perlawanan pertama mereka, Rabu lalu.
Surendran memulakan langkah
bergaya Perak apabila menolak masuk gol pertamanya pada minit ke-39 sebelum
menggandakan jumlah jaringan hanya empat minit kemudian.
Jaringan itu sekali gus
menyingkirkan Perlis daripada persaingan merebut tempat ke peringkat
seterusnya.
Namun, di sebalik kemenangan itu,
Perak kehilangan pemain utama mereka, Nor Syazwan Mohd. Nor yang mengalami
kecederaan di lutut.
``Syazwan sudah pasti tercicir
daripada senarai pasukan yang akan menentang Perlis nanti. Malah saya jangkakan
sehingga tamat pertandingan,'' kata jurulatih Perak, Mohd. Salim Wahab selepas
perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan,
pasukan pilihan utama, Negeri Sembilan kembali bersaing apabila menewaskan
Brunei 2-0 di Stadium Penampang hasil dua jaringan K. M. Sathian pada minit
ke-46 dan 78.
Sementara itu, pasukan pilihan
dari Kumpulan D, Selangor boleh mengucapkan selamat tinggal apabila tunduk 2-0
kepada Kuala Lumpur - kekalahan kedua berturut-turut.
Kuala Lumpur memperoleh jaringan
pertama seawal minit ke-10 menerusi Mohd. Zulkifli Affendi Mohd. Zaki sebelum
Nouzul Azuan Yunus menambah gol kedua pada minit ke-62.
Selangor kehilangan Shah Jehan
Syarani pada minit ke-88 tetapi hukuman itu gagal digunakan oleh Kuala Lumpur
untuk menambah jumlah gol.
Kekalahan itu menyaksikan
Selangor menghuni tangga tercorot tanpa mata di belakang MSSM yang terus
mencipta kejutan apabila menang 2-0 ke atas Sarawak di Stadium Penampang.
MSSM yang menundukkan Selangor
1-0 pada perlawanan pertamanya memperoleh gol menerusi Mohd. Hafiz Syobri Oman
pada minit ke-38 dan Ahmad Syamil Mohammad Shukur pada minit ke-85.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cIJuOv78©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan