ARKIB : 12/09/2002
PERAK dan Pulau Pinang akan
menentukan siapa berhak dinobatkan sebagai juara bola sepak Sukma IX Sabah
selepas kedua-duanya melepasi separuh akhir dengan kemenangan tipis ke atas
pencabar masing-masing di Kota Kinabalu, semalam.
Skuad Yeop harus berterima kasih
kepada `Spider man' Shahreez Zainal Abidin yang beraksi cemerlang mengawal
gawang serta R. Surendran, pencipta gol kemenangan ketika menang 1-0 ke atas
Perak.
Pulau Pinang pula bangkit untuk
menafikan kemaraan pilihan utama, Negeri Sembilan dengan kemenangan 2-1.
Perak, yang terpaksa bertukar
kepada sistem 4-5-1 akibat ramai pemain utamanya cedera, mengasak sejak awal
tetapi beberapa percubaan pemainnya dihalang oleh penjaga gol Kedah, Mohd.
Helmi Eliza Elias.
Namun, asakan berterusan untuk
mencari gol pendahuluan akhirnya muncul pada minit ke-23 apabila penyerang
lincah, R. Surendran menolak masuk gol.
Kedah juga memperoleh beberapa
peluang tetapi dihampakan oleh kehebatan penjaga gol lawan, Shahreez yang
melayangkan badannya untuk menepis tiga percubaan tepat bagi memastikan Perak
terus selamat sehingga tamat permainan.
Kemenangan itu bagaimanapun masih
belum berupaya untuk memuaskan hati jurulatih skuad Yeop, Mohd. Salim Abdul
Wahab yang berkata mereka sepatutnya menang sekurang-kurangnya 3-0.
``Mereka melepaskan terlalu
banyak peluang. Sepatutnya Perak boleh menang dengan tiga atau empat gol,''
katanya yang menyaksikan palang dan tiang gol Kedah turut menafikan pasukan
bimbingannya menambah jaringan.
``Tetapi saya memuji Shahreez
yang mempersembahkan aksi luar biasa hari ini.
``Kita terpaksa mengubah strategi
permainan kepada 4-5-1 kerana kehilangan ramai pemain termasuk penyerang yang
juga ketua pasukan, Norsyazwan Mohd. Nor.
Mengenai perlawanan akhir, Mohd.
Salim berkata beliau memang yakin bahawa Pulau Pinang akan layak setelah
menyaksikan permainan pasukan itu ketika persaingan peringkat kumpulan.
``Mereka adalah pasukan yang
berbeza berbanding ketika beraksi dalam Piala Presiden. Mereka nampak semakin
meningkat di sini,'' katanya.
``Saya merasakan peluang untuk
memenangi pingat emas adalah seimbang kepada Perak dan Pulau Pinang. Dalam
pertemuan Piala Presiden tahun ini, kita menang 2-0 di Pulau Pinang dan kalah
2-1 di Ipoh.''
Aksi Kedah bagaimanapun berakhir
dengan gaya memualkan apabila seorang pemainnya cuba menyerang pengadil
perlawanan, Jaafar Kasim sebaik sahaja pegawai perlawanan dari Negeri Sembilan
itu meniup wisel penamat.
Bagaimanapun, kejadian lebih
buruk berjaya ditenangkan oleh pemain-pemain Kedah yang lain dan juga pegawai
pasukan.
Sementara itu, Pulau Pinang yang
ketinggalan seawal minit ketujuh oleh jaringan penyerang Negeri Sembilan, Yosri
Derma Raju, memukau penonton dengan aksi penuh bersemangat pada babak kedua.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4cKifQJVq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan