ARKIB : 27/04/2003

PENYERANG Sarawak, Sapian Wahid
(kanan) terpaksa bergelut dengan pemain Perlis, Kelvin Musungu dalam usahanya
mendapatkan bola pada saingan Liga Perdana di Stadium Utama Negeri, Kangar,
semalam. Perlawanan berkesudahan seri 2-2. - Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.
JARINGAN hatrik V. Saravanan
membantu Perak mencatat kemenangan 3-1 ke atas Selangor yang bermain sembilan
orang di Stadium Perak semalam, sekali gus meletakkan kembali pasukan juara
bertahan itu di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Satu.
Pendahulu sebelum itu, Perlis
tergelincir ke tangga ketiga apabila gagal mengutip mata penuh selepas diikat
oleh Sarawak 2-2 di Kangar.
Kedah melonjak ke tangga kedua
selepas menang 1-0 ke atas Pahang di Kuantan.
Kedah dan Perlis berkongsi 23
mata tetapi Kedah memiliki jaringan lebih besar.
Pasukan pelawat mengejutkan tuan
rumah dengan jaringan awal pada minit kesembilan oleh D. Surendran tetapi
Saravanan menyamakan kedudukan lima minit sebelum waktu rehat.
Selangor bagaimanapun bermain
sembilan orang pada sepanjang babak kedua selepas Mohd. Nizam Jamil dan Mass
Sarr Jr. masing-masing menerima kad kuning kedua dalam perlawanan itu pada
hujung babak pertama.
Kesempatan itu digunakan
sepenuhnya oleh barisan Perak untuk mencari gol dan Saravanan menambah gol
kedua pada minit ke-84 sebelum melengkapkan hatrik pada minit terakhir
perlawanan.
Perlis berada di ambang kekalahan
apabila ketinggalan 2-1 selepas 70 minit perlawanan berlangsung sebelum Kelvin
Musungu menyelamatkan Singa Utara dengan jaringan penyamaan minit ke-79.
Musungu sebelum itu meletakkan
Perlis di depan dengan jaringan minit ke-30 tetapi Sapian Wahid menyamakan
kedudukan minit ke-46 dan Robert Eshun menambah gol kedua Sarawak minit ke-70.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan,
jaringan tunggal Ooi Hoe Guan pada minit ke-30 memberi kemenangan ketujuh buat
Kedah untuk melonjak ke tempat kedua mengatasi Perlis.
Di Stadium Hang Tuah, Telekom
Melaka menambah derita pasukan tercorot, Terengganu dengan kemenangan 2-1.
Pasukan tuan rumah mendapat
kedua-dua gol pada separuh masa pertama menerusi Isaac Kuffour pada minit ke-12
dan Thomas Duah (24).
Gol tunggal Terengganu
dijaringkan oleh Seidu Issifu minit ke-71.
Di Stadium Likas, Sabah mencatat
kemenangan keempat selepas menewaskan Melaka 2-1.
Kedua-dua gol pasukan tuan rumah
dijaringkan pada separuh masa pertama menerusi pemain import, Robert Mark
Gaspar pada minit keempat dan 43 sebelum Melaka merapatkan jurang pada minit
ke-49 menerusi Ahmad Tharmini Saiba.
Di Stadium Pasir Gudang, Johor FC
tewas di gelanggang sendiri 1-0 kepada Pulau Pinang.
Gol pasukan pelawat dijaringkan
oleh Gustavo Alberto Romero pada minit ke-83.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cu4PrbP8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan