ARKIB : 27/02/2002
PERAK mengukuhkan kedudukan
pendahulu bola sepak Liga Perdana Satu dan mengekalkan rekod tanpa kalah
selepas menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Sarawak, semalam.
Gol kemenangan Perak dijaringkan
penyerang Khalid Jamlus pada minit ke-56, sekali gus Sarawak kekal di tangga
kedua terbawah liga.
Jaringan berpunca hasil hantaran
V. Saravanan yang disambut dengan rembatan kaki kanan Khalid dan gagal
diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah, Asri Sanusi.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Selangor melonjak ke tangga kedua liga selepas mengalahkan Negeri Sembilan 1-0.
Jaringan Mohd. Farid Shah pada
minit ke-31 memastikan tiga mata penuh dikutip pasukan Red Giants, yang kini
mengumpul 12 mata selepas enam perlawanan.
Di Stadium Utama, Kangar,
perlawanan di antara Perlis dan Sabah berkesudahan seri tanpa jaringan.
Kelantan pula memberikan
kekalahan kedua berturut-turut kepada Johor FC apabila menang 2-1 di Stadium
Sultan Muhamad IV, Kota Bahru.
Pemain import Kelantan,
Woorrawoot Srimaka membuka jaringan tuan rumah seawal minit kelima, namun Johor
FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi Jonathan Benagelluci pada minit ke-24.
Kelantan bagaimanapun hanya
memerlukan 10 minit kemudian untuk memastikan kemenangan hasil jaringan
Fatrurazi Rozi.
Di Stadium Negeri, Batu Kawan,
juara liga, Pulau Pinang mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Melaka, selepas
jaringan masa pertama menerusi S. Nanthakumar (minit ke-20) dan Zool Ihsan
Yunus pada minit ke-35.
Zool Ihsan menjaringkan gol
ketiga pasukannya pada minit ke-70, diikuti jaringan Hasmawi Hasaan minit
ke-79. Gol tunggal Melaka dijaringkan oleh Izham Yunus minit ke-38.
Juara Piala Malaysia, Terengganu
menghukum Kuala Lumpur untuk terus berada di tangga tercorot liga selepas
menang tipis 1-0 di Stadium KLFA, semalam.
Terengganu bernasib baik
dihadiahkan penalti pada minit ke-40 selepas bola terkena tangan pemain lawan.
Sepakan itu disempurnakn oleh Rosdi Talib.
Jaringan minit terakhir oleh
pemain import, Melnikov Viatcheslav menyelamatkan Pahang daripada diaibkan di
Stadium Darul Makmur apabila seri 3-3 dengan NS Chempaka.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bwyWchYp©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan