Rabu, 22 Mac 2017

Perak sukar disekat

ARKIB : 07/04/2002
PERAK hanya memerlukan satu gol untuk meraih hadiah lumayan RM40,000 apabila menumpaskan Sabah 1-0 dalam perlawanan terakhir liga bola sepak Perdana Satu di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Gol kemenangan skuad Seladang dijaringkan oleh V. Saravanan hasil sepakan penalti minit ke-63 setelah dia dijatuhkan oleh Julius Ating.

Perak mengumpul 31 mata, empat mata mengatasi saingan terdekatnya, Selangor yang seri 2-2 dengan Johor FC di Shah Alam.

Selangor mendahului menerusi Mohd. Fareed Shah Hassan (minit 10) sebelum ketinggalan 2-1 oleh jaringan Jonathan Anggeluci (13) dan Eddy Helmi Abd. Manan (43). Maruah Selangor terselamat dengan gol penyamaan Aiman Wong Abdullah (66).

Juara Piala Malaysia, Terengganu menumpaskan Melaka 1-0 hasil jaringan Sapian Wahid (90) di Stadium Sultan Nasiruddin Shah.

Pulau Pinang pula diikat 1-1 oleh Pahang meskipun beraksi di Stadium Negeri.

Gol tuan rumah diperoleh menerusi Hairul Nizam Hanif (50) sebelum Azmani Kadir tampil dengan gol penyamaan (79).

Keputusan seri turut disaksikan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi apabila Negeri Sembilan terikat 3-3 dengan Perlis.

Tuan rumah, memperoleh gol menerusi Norisham Ismail (6), K. Rajan (66) dan Azrin Affendi (89), Perlis menerusi dua gol penyerang importnya, Alberto de Souza (7, 38) dan Che Zambil Ahmad (77).

Sementara itu, Kelantan begitu garang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan membenam Kuala Lumpur 3-1.

Di Stadium Sarawak, Kuching, Ramles Sari muncul wira pasukan tuan rumah dengan gol kemenangan ketika menewaskan NS Chempaka 1-0 pada minit ke-63 menerusi sepakan penalti.

Sementara itu, Polis menang 1-0 ke atas TNB Kelantan dalam aksi Perdana Dua yang tertangguh akibat kerosakan lampu limpah di Stadium Selayang. Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Bonny Winson Anthony Gak (56).



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4c4VVrj9R

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan