ARKIB : 03/07/2002

PEMAIN pasukan Perak bergembira
selepas mengatasi NS Chempaka 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam
untuk menjulang kejuaraan bola sepak Perdana Satu buat kali pertama. - Gambar
MOHD. NOOR AMIN.
PERAK menjulang kejuaraan bola
sepak Liga Perdana Satu buat pertama kali sejak 1989, apabila menewaskan NS
Chempaka 2-0 pada perlawanan kedua terakhir liga di Stadium Tuanku Abdul
Rahman, Paroi, semalam.
Kemenangan naib juara Piala
Malaysia musim lalu itu dicapai hasil kesilapan pemain NS Chempaka, P. Sivanantham
yang tertolak bola ke gawang sendiri pada minit ke-47 dan Norizam Ali Hassan
mengesahkan kejayaan Seladang dengan gol kedua pada minit terakhir perlawanan.
Perak menamatkan penantian 13
tahun untuk bergelar juara Perdana Satu sejak 1989, yang mana liga dua divisyen
bermula pada tahun itu.
Kejayaan Perak juga dicapai
selepas pencabar terdekat, Selangor diikat Pahang 1-1 di Kuantan.
Perak mengutip keseluruhan 60
mata daripada 25 perlawanan, dan pertemuan terakhir liga bertemu Pahang akan
datang sekadar pelengkap jadual perlawanan.
Selangor tidak mampu lagi
memintas Perak selepas keputusan seri semalam meletakkan pasukan itu dengan 53
mata.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan,
Selangor mendahului tuan rumah seawal minit kelima hasil jaringan Amri Yahyah
dan Ahmad Shahruddin Rosdi mengecewakan skuad Merah Kuning dengan jaringan
penyamaan pada minit ke-74.
Di Stadium Pasir Gudang, Johor
Bahru, Johor FC mengekalkan kedudukan di pertengahan liga dan berkongsi 40 mata
dengan Terengganu selepas mengatasi Melaka 2-0.
Gol Johor FC diperoleh hasil
jaringan sendiri Rosli Omar pada minit ke-15 dan pemain import Johor FC,
Jonathan Ben Angelucci menggandakan jaringan minit ke-89.
Di Stadium Penampang, gol pada
minit terakhir oleh L. Suresh menyelamatkan Sabah daripada tewas kepada
Terengganu apabila jaringannya mengikat kedudukan seri 2-2.
Sabah ketinggalan 2-1 ketika
perlawanan berbaki dua minit biarpun mendahului menerusi jaringan Suharmin
Yusof pada minit ke-26.
Penyerang kebangsaan, Sapian
Wahid menyamakan kedudukan pada minit ke-76 dan S. Paidiya Rau meletakkan
Terengganu di depan pada minit ke-88 sebelum Suresh menemui sentuhan berharga
pada minit ke-90.
Di Stadium Utama, Kangar,
perlawanan Perlis dengan penyandang juara, Pulau Pinang berakhir dengan seri
2-2.
Gol tuan rumah dijaringkan oleh
Mohd. Khairul Nisam Shahabuddin (10) dan Adalberto de Souza (78) dan Pulau
Pinang membalas dengan jaringan Chow Chee Weng (42) dan Gustavo Alberto Romero
(71).
Di Stadium Sultan Mohamed IV,
Kota Bharu, tuan rumah tumbang 4-1 kepada Sarawak.
Gol Sarawak dijaringkan oleh
Rizal Awang Jad (17), Gilbert Cassidy Gawing (36, 51) dan Romeo Kambou (81) dan
Kelantan mendapat gol saguhati pada minit terakhir menerusi Fatrurazi Rozi.
Di Stadium KLFA, Cheras, Kuala
Lumpur dan Negeri Sembilan masih berpeluang untuk menempah tempat ke Piala
Malaysia biarpun perlawanan dimenangi Kuala Lumpur 1-0.
Kedua-dua pasukan berkongsi 16
mata di tangga terbawah tetapi perlu mengatasi NS Chempaka yang mengutip 19
mata di tangga ketiga terbawah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cDYZabTG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan