Selasa, 28 Mac 2017

Penyerang Perak berpeluh

 ARKIB : 19/02/2003
JENTERA serangan pasukan Perak bermandi peluh semalam apabila `didera' oleh jurulatih, Toni Netto yang mengendalikan latihan keras bagi mempertajamkan serangan pasukan itu menjelang pertemuan menentang Sarawak dalam perlawanan Perdana Satu di Ipoh, Sabtu ini, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Netto berkata, latihan keras itu diharapkan mampu memperbaiki ketumpulan serangan supaya para penyerang Perak boleh menggunakan setiap peluang untuk menjaringkan gol.

``Saya terkilan apabila Mohd. Khalid Jamlus, V. Saravanan, Indera Putera Mahayuddin dan Yusri Che Lah gagal menjaringkan gol walaupun mereka berpeluang melakukannya,'' kata Netto di Ipoh, semalam.

Katanya, latihan keras ini perlu dijalankan segera kerana pertemuan Sabtu ini dianggap lebih mencabar yang mana skuad Bujang Senang mempunyai barisan serangan yang berbisa.

Kegagalan barisan serangan Perak menjaringkan gol Sabtu lalu menyebabkan juara liga itu hanya berkongsi mata dengan Telekom Melaka dalam perlawanan pertama.

Netto menafikan ketiadaan penyerang import menyebabkan serangan pasukannya tumpul kerana musim lalu barisan serangan Perak hanya dibarisi oleh pemain-pemain tempatan tetapi mampu menggugat banyak pasukan lain.

``Tanpa penyerang import, Perak masih mampu menyengat dan Khalid pula berjaya meraih anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak musim lalu,'' jelas beliau.

Jurulatih dari Brazil itu mengakui skuad Seladang tetap menginginkan penyerang import bagi memberi saingan sihat antara penyerang tempatan dan sekali gus meningkatkan mutu permainan mereka.

Netto mengakui tidak dapat menggunakan khidmat penyerang import dalam perlawanan sepanjang bulan ini kerana penyerang kelab Santa Clara, Flavio Galvao hanya dijangka tiba di Ipoh, minggu depan.

Sementara itu, Saravanan berkata, barisan penyerang Perak masih `belum panas' lagi kerana pertemuan dengan Telekom Melaka merupakan perlawanan pertama.

``Corak permainan kami akan bertambah baik untuk perlawanan seterusnya dan mampu menjaringkan gol,'' kata Saravanan, penyerang yang digandingkan dengan Khalid.



Smber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ccdQVZEZ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan