ARKIB : 10/10/2000
REKOD pertemuan dilihat lebih
memihak kepada Negeri Sembilan tetapi itu tidak membimbangkan jurulatih Perak,
Karl Heinz Weigang dalam menghadapi perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia
di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.
Bagi Weigang, segala-galanya
bergantung kepada prestasi pemain pada hari perlawanan akhir itu di samping
sedikit tuah untuk mencatat kemenangan.
Bagaimanapun beliau tidak
menafikan Negeri Sembilan mempunyai kelebihan dari segi psikologi untuk
berdepan dengan pasukannya.
''Menentang Negeri Sembilan di
peringkat akhir pastinya memerlukan kekuatan fizikal dan mental apatah lagi
Perak tidak pernah menang ketika bertemu Negeri Sembilan musim ini.
''Namun itu tidak membimbangkan
saya kerana jika Negeri Sembilan sudah mengetahui kelemahan Perak, kita juga
sudah membaca kelemahan mereka dan ia akan ditentukan dalam perlawanan akhir
nanti,'' ujarnya.
Perak hanya mampu seri sekali
dan tewas tiga kali dalam dua pertemuan di peringkat liga dan dua pertemuan di
peringkat awal Piala Malaysia.
Bagaimanapun bagi Weigang,
perlawanan akhir kali ini berlangsung di gelanggang berkecuali yang sudah tidak
asing lagi bagi pemain-pemain Perak.
''Kelebihannya kerana Perak
telah bermain di Stadium Shah Alam ketika bertemu Selangor dalam perlawanan
separuh akhir pertama 3 Oktober lalu.
''Tetapi Perak akan tetap turun
dengan berhati-hati kerana Negeri Sembilan bukan sebarangan pasukan dan berada
di tahap terbaik untuk melakar sejarah tersendiri,'' katanya.
Perak layak ke perlawanan akhir
selepas menewaskan Selangor 3-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Perak,
Sabtu lalu.
Kemenangan itu membolehkan
Perak layak ke perlawanan akhir menerusi agregat 4-2 selepas Selangor memenangi
pertemuan pertama dengan 2-1.
Ini kali kedua dalam tempoh
tiga tahun Perak layak ke perlawanan akhir.
Perak muncul juara Piala
Malaysia pada 1998 dengan mengalahkan Terengganu 5-3 menerusi tendangan penalti
berikutan keputusan seri 1-1 dalam permainan masa tambahan di Stadium Nasional
Bukit Jalil.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4b4LGQqxM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan