ARKIB : 16/04/2003
PERAK masih mempunyai baki 90
minit untuk membalas dendam kekalahan 2-0 kepada Negeri Sembilan dalam suku
akhir pertama Piala FA 2003 apabila kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu di
Stadium Perak, Ipoh, Sabtu ini, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.
Jurulatih, Toni Netto berkata,
walaupun Perak kalah dalam perlawanan pertama tetapi peperangan di antara
kedua-dua pasukan masih belum selesai.
Sehubungan dengan itu katanya,
Perak sedang membuat persiapan rapi bagi memenangi perlawanan suku akhir kedua
dan sekali gus layak ke separuh akhir. Skuad Seladang itu menghadapi laluan
berduri apabila terpaksa mencari kelebihan tiga gol setelah tumpas 2-0 kepada
Negeri Sembilan dalam perlawanan pertama Sabtu lalu.
Namun begitu, Netto tetap yakin
anak buahnya mampu mengejar Negeri Sembilan kerana setiap pasukan mempunyai
kelemahan yang boleh digunakan bagi mengatasi lawannya.
Mengenai kelemahan Perak, Netto
menjelaskan bahawa beliau sudah mengenal pasti beberapa kelemahan kecil supaya
tidak diambil kesempatan oleh Negeri Sembilan kelak.
Netto sedang mempertingkatkan
ketajaman barisan serangan yang terdiri daripada Khalid Jamlus, Flavio Galvao
dan Yusri Che Lah sejak beberapa hari lalu.
Jurulatih itu mengakui kegagalan
barisan serangan menyempurnakan beberapa peluang terbaik ke dalam jaring
lawannya menyebabkan skuad itu menghadapi situasi paling getir sekarang.
Skuad Seladang itu mungkin tidak
dapat menggunakan khidmat penyerang berbisa, V. Saravanan yang belum pulih
daripada kecederaan di lutut.
Ketiadaan Saravanan dan Indra
Putra Mahayuddin yang kini bersama skuad kebangsaan akan menyulitkan lagi
strategi Netto bagi memburu tiga gol.
Di sebalik keyakinan Netto bahawa
skuad Perak mampu mencatat kelebihan tiga gol tetapi beliau tetap resah tentang
prestasi para pemain Perak yang tidak menentu.
``Kadang-kadang mereka mampu
menyerlah sehingga menggerunkan pihak lawan dan kadang-kadang pula persembahan
mereka mudah dipatahkan pihak lawan,'' ujar Netto
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4ctQultF5s©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan