ARKIB : 27/03/2002
PERAK nyaris menerima padah
setelah memandang remeh perlawanan dengan NS Chempaka dalam kempen bola sepak
Liga Perdana Satu di Stadium Perak, Ipoh yang berkesudahan 1-1, semalam.
Skuad Seladang mendahului 1-0
pada minit ke-13 menerusi Indra Putra Mahayuddin, tetapi kemudian mensia-siakan
peluang pada perlawanan yang sepatutnya dimenangi dengan mudah di hadapan
penyokong sendiri.
Sebaliknya, kelalaian penjaga gol
Perak, Mohd. Hamsani Ahmad membawa padah apabila dia menangkap hantaran rakan
sendiri untuk menghadiahkan sepakan percuma kepada lawan, yang disempurnakan
oleh V. Thinagaran (minit 45).
Perak bagaimanapun, masih kekal
di tangga teratas dengan 25 mata, dipisahkan oleh kelebihan gol dengan Selangor
yang mengutip mata penuh di tempat sendiri.
Red Giants juga mengutip 25 mata
setelah menundukkan Pahang 1-0 di Stadium Shah Alam melalui Ahmad Izwan Maarup
(72).
Sementara itu, Pulau Pinang
menghampakan penyokong sendiri apabila tumpas 1-0 kepada Perlis di Stadium
Negeri, Batu Kawan.
Jaringan kemenangan Perlis
diperoleh menerusi tandukan pemain tinggi lampai, Lius Andre De Selva pada
minit ke-12.
Sementara itu, Negeri Sembilan
dan Kuala Lumpur seri 2-2 dalam pertemuan antara dua pasukan tercorot liga di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Negeri Sembilan mendahului
menerusi K. Rajan pada minit ke-40 tetapi pelawat memperoleh dua gol dalam
tempoh seminit menerusi Dawson Christopher (42) dan gol sendiri Abdullah Sani
Yusof (43) sebelum kedudukan kembali seimbang menerusi Efendi Malek (60).
Sementara itu, Johor FC mencatat
kemenangan selesa ke atas Melaka di Stadium Hang Tuah.
Kesemua gol pelawat diperoleh
pada babak kedua menerusi Rezal Zambery Yahya (54), Mohd. Shukri Ismail (56)
dan Jonathon Angelucci (87).
Terengganu pula mencatat
keputusan seri buat kali pertama selepas 11 perlawanan apabila diikat 1-1 oleh
Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala terengganu.
Safian Wahid menceriakan
penyokong tuan rumah apabila menolak masuk bola dalam keadaan kelam kabut di
depan gawang namun, skuad Penyu terpaksa berpuas hati dengan satu mata setelah
Josiah Seton merembat kencang gol penyamaan Sabah pada minit ke-77.
Sarawak pula mencatat kemenangan
terbesar apabila membenam Kelantan 4-1 di Stadium Sarawak, Kuching, terima
kasih kepada penyerang import dari Burkina Faso, Romeo Kambou yang menghasilkan
dua gol (13 dan 68).
Dua lagi gol Bujang Senang
diperoleh menerusi Gilbert Cassidy Gawing beberapa minit kemudian dan Ramles
Sari (43). Pelawat mendapat gol tunggalnya menerusi Mohd. Noor Derus (74).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4byQrGAbg©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan