Jumaat, 24 Mac 2017

Hasrat julang Piala FA - Perak enggan dabik dada



ARKIB : 16/08/2002
BARISAN pemain Perak menjalani latihan di Stadium Perak, Ipoh semalam menjelang aksi akhir menentang Pulau Pinang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok. - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.

Oleh HASHNAN ABDULLAH
PENGURUS pasukan Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, pasukannya tidak mahu mendabik dada walaupun rekod kemenangan banyak berpihak kepada mereka.

Malahan katanya, sokongan penyokong yang seramai 35,000 orang itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok tidak mahu dijadikan asas kukuh kekuatan pasukan itu, sebaliknya mahu pemain merasa lebih yakin dengan kemampuan pasukan untuk menjulang Piala FA nanti.

Bagi Jamal, faktor sekarang yang menjadi keutamaan ialah `perang psikologi' dan tidak mahu pemain terperangkap dengan ancaman itu, yang dilihat bakal membawa padah jika terpengaruh.

Katanya lagi, mana-mana pasukan yang berjaya mengatasi tekanan esok, mampu dijulang sebagai juara.

``Setiap pasukan mempunyai rekod cemerlang di gelanggang sendiri dan suasana berlainan bila beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil,'' katanya yang ditemui di pejabatnya di Ipoh, semalam.

Jamal memberitahu, apa yang membimbangkannya dan jurulatih Perak, Tony Netto, ialah pemain hilang tumpuan apabila mendahului pasukan lawan.

Beliau menjelaskan, kealpaan itulah yang sering kali menyebabkan Perak mencatatkan keputusan seri dan hilang kejuaraan Liga Perdana Satu.

``Saya bimbang pemain mula leka apabila mendahului lawan tetapi saya yakin, mereka akan dapat mengawal permainan,'' katanya.

Tegasnya, dia mahukan semua pemain berpegang kepada moto: ``Selagi wisel penamat tidak ditiupkan, mereka harus bermain bersungguh-sungguh walaupun telah mendahului lawan.''

Sementara itu, Tony Netto yang ditemui sebelum sesi latihan di Stadium Perak, semalam, berkata, dia tidak mempunyai sebarang perancangan atau strategi yang khususnya untuk menentang Pulau Pinang, esok.

Lagipun, semua pemain utama berada pada tahap kecergasan yang baik dan bersedia untuk berhadapan lawan.

Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan semasa perlawanan akhir Piala FA ialah beraksi sebagaimana hari biasa.

``Usah fikirkan tekanan kerana perlawanan akhir memang mempunyai faktor itu. Pemain perlu tenang dan kita yakin boleh memberikan aksi terbaik,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cFsPxjMy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan