
ARKIB : 01/11/2001
PARA penyokong Perak melaungkan
slogan, `Yob Boleh' selepas menyaksikan sesi latihan pasukan itu di Stadium
Perak, Ipoh semalam. Perak akan bertemu Terengganu dalam perlawanan akhir bola
sepak Piala Malaysia di Stadium Nasional, Sabtu ini. - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.
Oleh MOHD. TAUFEK RAZAK
PERHATIAN jurulatih Perak, M.
Karathu kini tertumpu kepada bagaimana untuk merencanakan bahagian tengahnya
bagi menyaingi nadi kekuatan Terengganu pada perlawanan akhir bola sepak Piala
Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.
Sambil mengakui kemantapan
posisi tengah Terengganu berbanding pasukan bimbingannya, Karathu percaya,
kelebihan pasukan lawan itu mampu disekat jika pemain tengahnya dapat
meningkatkan lagi persefahaman antara mereka.
Katanya, Azrul Amri Burhan,
Ahmad Shahrul Azhar, K. Nanthakumar dan Indraputra Mahyuddin perlu lebih rajin
jika mahu menyaingi barisan tengah Terengganu.
``Ini adalah faktor yang sedang
saya tekankan dalam latihan sehari dua ini. Kita perlu menguasai bahagian
tengah lebih dulu kerana Terengganu mempunyai kelebihan berbanding kita.
``Seperti Nanthakumar, dia
cukup rajin tetapi kurang kreatif dan sering menghantar bola tidak tepat kepada
rakan. Ini yang cuba saya atasi termasuk mendesak agar Azrul, Ahmad Shahrul dan
Indraputra lebih agresif dalam perlawanan akhir nanti,'' ujarnya.
Katanya, kekuatan di barisan
pertahanan dan serangan jelas agak seimbang antara kedua-dua pasukan namun yang
akan menentukan haluan kemenangan ialah saingan sengit di bahagian tengah.
Karathu menyifatkan gandingan
Terengganu iaitu Mazuki Yusof, Subri Sulong, Rosdi Talib dan Hairuddin Omar
cukup mantap bukan saja dari segi kawalan bola tetapi juga keadaan fizikal
mereka berbanding Perak.
``Untuk perlawanan akhir ini,
saya tidak mahu mengambil risiko menurunkan Azrul sebagai penyerang kerana ini
akan memberi kelebihan kepada Terengganu mendapatkan gol awal.
``Saya percaya, bahagian tengah
akan menjadi penentu kepada kedua-dua pasukan untuk mencari sebanyak gol yang
mungkin,'' tegasnya.
Justeru itu, baki latihan hari
ini akan digunakan Karathu untuk mencari formula terbaik sebelum bertolak ke
Bukit Jalil, esok.
Karathu juga dijangka akan
mengumumkan nama 18 pemain hari ini yang akan diturunkan pada perlawanan akhir
nanti.
BARISAN KEMUNGKINAN: Azlisham
Ibrahim, Syamsol Saad, A. Victor, Chan Kok Heng, Chan Wing Hoong, Ahmad Shahrul
Azhar, Indraputra Mahyuddin, Azrul Amri Burhan, K. Nanthakumar, Khalid Jamlus,
Mohd. Rafdi Rashid.
Sistem: 4-4-2
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bmjknayx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan