Selasa, 21 Mac 2017

Perak atau Selangor yang hebat



ARKIB : 28/03/2002
PUSINGAN pertama bola sepak Liga Perdana Satu hanya berbaki dua perlawanan dan ketika ini hanya dua pasukan, Perak dan Selangor harus menunjukkan siapa lebih hebat untuk merebut insentif RM40,000 selaku juara pusingan pertama.

Perak yang kini memimpin liga, bersaing hebat dengan Selangor apabila masing-masing berkongsi 25 mata daripada 11 perlawanan. Seladang di tangga teratas atas perbezaan jaringan.

Keputusan seri 1-1 yang dicatat Perak dengan NS Chempaka kelmarin, sesungguhnya mengundang kepayahan buat pasukan itu untuk merebut insentif yang ditawarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kemenangan 1-0 Selangor ke atas Pahang untuk menyamakan kutipan mata dengan Perak, harus menjadikan persaingan merebut gelaran juara pusingan pertama begitu sengit.

Melihat kedudukan terkini liga, kedua-dua pasukan memiliki jurang lima mata dengan pasukan tangga ketiga, Johor FC yang mengutip 20 mata.

Tetapi perlu diingat, apa sahaja boleh berlaku dan dua perlawanan terakhir pusingan pertama ini harus dianggap maha penting oleh kedua-dua pasukan.

Jika tidak, Johor FC, skuad kelab dari selatan tanah air bakal mencipta satu lagi sejarah.

Bagaimanapun mengikut jadual perlawanan, kedua-dua pasukan berdepan laluan berliku untuk mencapai impian.

Perak menerima tentangan Pahang di Kuantan pada Selasa depan dan bertemu Sabah di Ipoh tiga hari kemudian.

Manakala Selangor turut bertandang ke gelanggang lawan menentang Sabah pada Selasa dan menentukan hidup mati pasukan apabila bertemu Johor FC pada Sabtu di Shah Alam.

Johor FC juga tidak menerima laluan mudah. Mereka perlu melepasi halangan getir menentang Terengganu di Pasir Gudang sebelum bertemu Selangor di Shah Alam.

Jika dua perlawanan itu berjaya diatasi, Johor FC terpaksa pula melihat keputusan membabitkan dua pasukan teratas itu.

Apa pun, jurulatih pasukan terbabit seharusnya sedang galak memikirkan strategi dan teknik terbaik untuk pasukan bagi menghadapi dua perlawanan penting itu.

Dan sudah tentu pasukan lain, yang tidak bernasib baik untuk bersama-sama merebut intensif pusingan pertama, akan sedaya upaya mengecewakan lawannya.

Apa pun, persaingan merebut ganjaran ini harus menjadikan mutu permainan semua pasukan semakin meningkat dan aksi akan lebih hebat dan memikat.

Apa sahaja sasaran yang dibuat, mutu profesional bola sepak Liga Malaysia harus sentiasa dijaga dan memastikan ia berkualiti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4byRrs6VN© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan