ARKIB : 12/02/2002
KEHADIRAN pemain dari Brazil,
Robson Pereira Da Silveira yang akan menerajui jentera serangan pada sentuhan
pertamanya menentang Melaka, Sabtu depan, melengkapkan sentuhan rentak `samba'
yang diterap oleh jurulatih, Tony Netto, lapor BORHAN ABU SAMAH.
Tony yang juga dari Brazil
berkata, beliau berpuas hati dengan pemain import berusia 28 tahun itu dan akan
menggunakan khidmatnya ketika menentang Melaka di Stadium Hang Tuah.
``Boleh saya katakan telah
pasti Robson akan digunakan ketika menentang Melaka, komennya ringkas ketika
ditemui selepas sesi latihan di Ipoh, petang semalam.
Pengurus pasukan, Datuk Jamal
Nasir Rasdi berkata, Persatuan Bola Sepak Perak sedang menguruskan
syarat-syarat perpindahan dan kontrak pemain itu.
Petang semalam pemain import
terbaru yang mempunyai perwatakan seperti bekas penyerang kebangsaan, Zainal
Abidin Hassan itu hanya melakukan latihan memanaskan badan serta meningkat
stamina.
Tony kini menggunakan formasi
4-3-3 kini meletakkan rangkaian tiga pemain serangan iaitu V. Saravanan, M.
Nagarajah dan Khalid Jamlus.
Kemasukan penyerang baru itu
kemungkinan menyaksikan M. Nagarajah akan diletakkan sebagai pemain gantian,
manakala Robson memikul tugas sebagai penyerang utama dengan dibantu oleh
Saravanan dan Khalid.
Corak samba yang dipamerkan
oleh Perak setakat ini cukup berkesan dan paling menyerlah ketika membenamkan
Selangor 2-0 Sabtu lepas.
Robson pemain kelab divisyen
satu di Brazil, Marilia Atletico Clube menjaring 22 gol sepanjang tahun lepas.
Menurut pengurusnya, Pompeo
Henrique, Robson mempunyai kontrak dua tahun dengan kelab tersebut yang akan
tamat pada Disember tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, jika
Perak benar-benar berminat untuk membeli pemain tersebut beliau akan
menguruskan bayaran yuran perpindahan pemain berkenaan.
Selain Robson, Perak turut
menggunakan pemain import dari Croatia, Jasko Farac yang bermain di posisi
pertahanan dan sering naik membantu barisan tengah ketika melancar serangan.
Prestasi memberangsangkan skuad
Seladang dan kehadiran pemain import dari Brazil dan Croatia turut menarik
peminat tempatan kembali menggila bola sepak tempatan dan buktinya semalam
semasa latihan kira-kira 100 orang penonton berada di tepi padang.
Mereka seolah-olah tidak sabar
untuk melihat aksi `awang import yang diyakini mempunyai kemahiran yang tinggi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bs2ri400
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan