Sabtu, 11 Mac 2017

Weigang naik berang

ARKIB : 05/10/2000
JURULATIH Perak, Karl Heinz Weigang berang dengan persembahan anak buahnya pada perlawanan separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia menentang Selangor di Shah Alam kelmarin, dengan menuding jari kepada beberapa pemainnya yang disifatkannya 'tidur' di dalam padang.

''Gol kedua Selangor sepatutnya tidak diperoleh. Tetapi apa boleh buat, pemain saya ''tidur'' dalam padang. Nanthakumar sepatutnya mengawal pemain tengah itu daripada meluru ke depan gawang,'' katanya selepas perlawanan itu.

Weigang jelas merujuk kepada pemain tengahnya, K. Nanthakumar yang dikatakan tidak langsung mengawal pergerakan pemain tengah Selangor, Nor Suhaimi Bahauddin yang meluru ke depan gawang menanduk masuk gol kemenangan Selangor ketika Perak tumpas 2-1 kepada pasukan tuan rumah itu, kelmarin.

''Beberapa pemain juga melepaskan peluang terbaik di depan gol. Peluang begitu mudah tetapi mereka tidak mampu menyudahkannya. Ketua pasukan (Ahmad Shahrul Azhar Sofian) sepatutnya menggandakan jaringan atau menyamakan kedudukan sekurang-kurangnya, tetapi dia melepaskan peluang begitu sahaja.

''Begitu juga dengan Nanthakumar yang hanya berdepan dengan penjaga gol lawan tetapi dia tidak melepaskan rembatan sehingga pertahanan lawan mencuri bola daripadanya,'' kata Weigang.

Ahmad Shahrul melepaskan peluang keemasan menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir perlawanan tetapi peluang itu disia-siakan apabila dia menyepak liar.

Segalanya nampak baik bagi Perak apabila melenyapkan sorakan 40,000 penonton di Stadium Shah Alam yang dibanjiri majoriti penyokong tuan rumah, apabila pemain tengahnya Azrul Amri Burhan meletakkan Perak di depan pada minit ke-21. Azrul bijak memperdaya dua pertahanan Selangor termasuk bek kebangsaan, B. Rajinikandh sebelum melepaskan tendangan rendah ke kiri gawang menewaskan Azmin Azram Aziz.

Namun, Stadium Shah Alam adalah gelanggang keramat Selangor yang kembali bangkit menyusun gerakan menyerang untuk mencari gol penyamaan yang hadir sepuluh minit kemudian menerusi sepakan penalti Rajinikandh.

''Penalti yang diperoleh Selangor memang mengubah rentak perlawanan kami. Gol itu memberi nafas baru bagi Selangor dan mereka bangkit dengan bergaya sekali,'' ujar Weigang.

Jurulatih dari Jerman itu memberitahu, ketiadaan Azrul pada babak kedua perlawanan tambah menyukarkan pergerakan Perak memburu jaringan penyamaan. Azrul terpaksa dikeluarkan selepas berlaga dengan pemain lawan dan digantikan dengan M. Nagaraja.

''Dia sukar bernafas selepas dirempuh pemain lawan. Saya terpaksa keluarkannya dan jelas Perak cacat di bahagian tengah dan sukar sekali melakukan serangan,'' katanya yang memuji persembahan Azrul dan mengakui ketiadaan Azrul merencatkan rentak pasukannya.

Begitupun Weigang berkata pasukannya menguasai permainan dan mampu mencipta beberapa peluang terbaik pada babak kedua tetapi mengakui mereka belum cukup bagus untuk berdepan dengan pasukan lebih gagah.

''Kita tidak ada pemain yang benar-benar berkaliber,'' ujarnya.

Apapun Weigang percaya pasukannya mampu mengetepikan Selangor dan melangkah ke akhir buat kali kedua sejak 1998, jika aksi kurang baik tidak diulangi apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi pada separuh akhir kedua di Ipoh, Sabtu ini.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4b27YXFvU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan