ARKIB : 27/07/2001
Oleh: BORHAN ABU SAMAH
Jurulatih Perak, Karl Heinz
Weigang diarah meninggalkan negara ini selewat-lewatnya 31 Julai ini dan jika
masih berdegil untuk berada di padang bersama pemain, Jabatan Imigresen akan
bertindak tegas menahannya.
Pengarah Imigresen Negeri
Perak, Ishak Mohamed berkata, serentak dari tarikh itu juga pihaknya tidak
membenarkan jurulatih kelahiran Jerman itu membuat sebarang kenyataan akhbar
berkaitan isu berkenaan.
Katanya, ini bermakna Weigang
tidak boleh berada di padang bersama-sama pasukan Perak pada pertemuan dengan
Selangor, Sabtu ini melainkan kehadirannya itu sebagai penonton biasa.
``Weigang tidak boleh berada di
mana-mana tempat yang boleh menimbul curiga bahawa beliau adalah jurulatih
Perak dan jika dia tidak mematuhi arahan ini, kita juga akan menahannya.
``Imigresen telah maklumkan
kepada Weigang bahawa pegawainya akan sentiasa mengawas gerak geri beliau dan
nampaknya dia memberikan kerjasama,'' katanya.
Ishak juga berkata, Persatuan
Bola Sepak Perak (PAFA), juga tidak dibenarkan membuat kenyataan akhbar berhubung
isu itu bagi mengelakkan salah faham yang berterusan oleh mana-mana pihak.
Menurutnya, arahan tegas itu
diambil selepas Unit Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Negeri menemu bual Weigang
selama tiga jam bermula pukul 10 pagi semalam dan Setiausaha Kehormat PAFA,
Najri Hamid lebih sejam, secara berasingan.
Katanya, siasatan mendapati
pihak PAFA memang berhasrat untuk mendapatkan khidmat jurulatih itu dan Weigang
juga berminat untuk memikul tugas berkenaan.
``Rundingan kontrak di antara
kedua-dua pihak bermula dari awal tahun ini. Sehingga semalam tiga draf
perjanjian telah dikemukakan.
``Malangnya ketiga-tiga
perjanjian yang dikemukakan dalam jangka masa berbeza tidak dapat dipersetujui
oleh kedua-dua pihak,'' katanya kepada pemberita di pejabatnya, di Ipoh,
semalam.
Sehingga pagi semalam, kata
Ishak, kedua-dua pihak menerima hakikat bahawa satu kontrak yang memenuhi
kehendak kedua-dua pihak tidak mungkin dapat dimeterai.
``Oleh yang demikian Weigang
bersetuju meninggalkan negara ini selewat-lewatnya pada 31 Julai ini dan tempoh
itu diperlukan bagi membolehkan beliau menyelesaikan hal-hal peribadi,'' jelas
Ishak.
Beliau berkata, walaupun permit
lawatan Weigang sah sehingga Oktober ini tetapi jurulatih yang mengambil alih
tugas melatih pasukan Seladang daripada Khaidir Buyong pada pertengahan 1997
bersetuju untuk meninggalkan negara ini pada tarikh yang ditetapkan itu.
Berhubung gaji Weigang,
katanya, PAFA tidak perlu menjelaskan sebarang bayaran kerana kedua-dua pihak
tidak memeterai sebarang kontrak dan terpulang kepada PAFA untuk menimbangkan
tuntutan perbelanjaan yang dibuat oleh jurulatih itu.
Sementara itu, di Petaling
Jaya, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Dell Akbar
Khan berkata FAM telah menghantar surat kepada PAFA meminta persatuan itu
supaya menyelesaikan permasalahan dengan jurulatih Karl Weigang.
Beliau berkata ini kerana hanya
PAFA yang mengetahui kandungan butiran kontrak yang dirundingkan antara Pafa
dan jurulatih itu.
``FAM tidak mengetahui dan
tidak mempunyai salinan butiran kontrak yang dirundingkan antara kedua-dua
pihak itu,'' katanya kepada pemberita di Wisma FAM di Kelana Jaya.
Beliau berkata FAM mempunyai
salinan kontrak pemain serta salinan kontrak jurulatih pasukan negeri-negeri
kecuali kontrak jurulatih Perak yang tidak diberikan kepada FAM.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhebahQG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan