
ARKIB : 29/10/2001
RAJA Muda Perak, Tengku Nazrin
(kanan) mengucapkan tahniah kepada pemain Perak selepas pasukan itu berjaya
melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan menewaskan Pahang,
3-0 di Kuantan, kelmarin. Perak mara dengan agregat 3-1. - Gambar MD. SHAHJEHAN
MAAMIN.
Oleh MOHD. TAUFEK RAZAK
JURULATIH Perak, M. Karathu
menyifatkan kejayaan Perak menewaskan Pahang 3-0, semalam dan seterusnya layak
ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini dicetuskan oleh faktor 2A, Azrul
dan Azlisham.
Sambil turut memuji dan tidak
mengetepikan sumbangan dan kesungguhan pemain lain, Karathu meletakkan dua nama
itu sebagai kunci kejayaan Perak dalam perlawanan yang memaksanya memperjudikan
nasib pasukan bimbingannya selepas tewas 0-1 di Ipoh, Selasa lalu.
Katanya, berdasarkan permainan
malam itu, Perak memang mempunyai kelebihan di semua bahagian berbanding
Pahang, tetapi kecemerlangan Azrul Amri Burhan di bahagian serangan dan tengah
serta Azlisham Ibrahim di pintu gawang membolehkan Perak menang besar.
``Pemain Perak memang sudah
bersiap sedia jika perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan tetapi
strategi meletakkan Azrul di bahagian serangan kemudian berpindah ke bahagian
tengah selepas Khalid Jamlus dimasukkan pada minit ke-34 ternyata berjaya
mengelirukan barisan pertahanan Pahang.
``Namun semua itu tidak akan
bermakna jika Azlisham gagal menyekat dua percubaan Ahmad Shaharuddin Rosdi
kerana ia boleh mengubah rentak dan taktik permainan. Mujur Azlisham bertindak
cemerlang,'' ujarnya.
Beliau turut mengakui kemasukan
Khalid banyak mengubah corak serangan Perak sehingga menyaksikan dia berjaya
menjaringkan gol di minit-minit terakhir separuh masa pertama dan separuh masa
kedua permainan.
Tetapi katanya, perjudian
menurunkan Azrul dalam kesebelasan utamanya merupakan strategi yang terbaik dan
berjaya memenuhi percaturannya kerana selain berjaya menjadi penggerak di
bahagian tengah dia turut menyumbang satu gol pada minit ke-77.
Azrul sebelum ini, katanya
sudah lama tidak diturunkan sepenuh masa kerana sering mengalami kecederaan di
samping baru saja melangsungkan perkahwinan, bulan lalu.
``Bagaimanapun faktor
kecergasan juga banyak membantu Perak mencatat kejayaan ini apabila kesemua
pemain memberikan persembahan yang terbaik dan mengekang setiap pergerakan bola
di kaki pemain lawan,'' jelasnya.
Mengenai perlawanan akhir
menentang Terengganu, Karathu berkata, Perak akan turun dengan strategi berbeza
kerana mengakui lawannya itu turut mempunyai kekuatan seimbang di semua
bahagian.
Pasukan Perak akan berehat
selama dua hari sebelum kembali memulakan latihan esok
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bmb8yXxu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan