ARKIB : 20/03/2002
PERAK melengkapkan 21 mata di
tangga teratas bola sepak Liga Perdana Satu apabila menewaskan Kelantan 1-0
pada perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Mohd. Khalid Jamlus muncul wira
pasukan itu apabila menanduk masuk bola pada minit ke-77 untuk menewaskan
penjaga gol Kelantan Mat Shah Rizan Ismail.
Di Stadium Negeri, Pulau Pinang,
pasukan tuan rumah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur menerusi
jaringan Ng Kok Heng pada minit ke-23.
Selepas membelasah Negeri
Sembilan 7-1 dalam perlawanan lalu, Pulau Pinang berusaha memburu jaringan
besar tetapi banyak percubaan digagalkan penjaga gol lawan, penjaga gol Kuala
Lumpur, Razi Effendi Suhit.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, tuan rumah N. Sembilan berkongsi mata selepas seri tanpa jaringan dengan
Sarawak.
Di Stadium Hang Tuah, tuan rumah
Melaka pula meraikan kemenangan 2-0 ke atas Sabah hasil jaringan Azhar Abdul
Aziz pada minit ke-57 dan Abdul Halim Jantan, minit ke-87.
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah, Terengganu sebaliknya, meraikan kemenangan besar 4-0 ke atas NS Chempaka.
Gol-gol tuan rumah dijaringkan oleh Wan Rohaimi Ismail pada minit ke-15, Seidu
Issifu (44), Hairuddin Omar (47) dan gol kemenangan oleh Rosdi Talib.
Di Stadium Perbadanan Pasir
Gudang, tuan rumah Johor FC mengecewakan Pahang dengan kemenangan 2-0 menerusi
jaringan Mark Terence Hagger pada minit ke-27 dan gol penalti Jonathon Ven
Angelucci, minit ke-72.
Sementara itu, pertemuan Selangor
menentang Perlis di Stadium Shah Alam semalam, terpaksa ditunda ke hari ini
kerana padang digenangi air selepas hujan lebat turun. Bagi pemegang tiket
perlawanan, mereka masih boleh menyaksikan perlawanan terbabit malam ini dengan
membawa bersama keratan tiket.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4by0mWzky©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan