ARKIB : 22/09/2001
KETIKA juara bertahan, Perak
sekali lagi berdepan ranjau untuk mengutip kemenangan pertama, pasukan kelab
terutama Johor FC terus menjadi tumpuan apabila aksi bola sepak Piala Malaysia
kembali disambung malam ini.
Perak bakal berdepan naib juara
liga, Terengganu di gelanggang lawan dalam aksi kumpulan C, satu pertarungan
sukar buat Seladang untuk mengutip kemenangan pertamanya.
Selepas tewas mengejut 2-1
kepada TNB Kelantan Selasa lalu, Perak perlu menang ke atas Terengganu tetapi
pasukan lawan itu baru segar dengan kemenangan 2-0 ke atas JKR Kelantan.
Mungkin agaknya Perak masih
memerlukan sentuhan Karl Weigang untuk mengulangi kejayaan musim lalu tetapi
siapa sahaja yang membantu, ternyata pasukan lain dalam kempen ini lebih
bertenaga.
Namun, tumpuan pasti terarah
kepada Johor FC yang membuat kemunculan kali kedua dalam pertandingan
berprestij ini selepas cemerlang musim lalu.
Kejayaan mengikat bekas gergasi
Lembah Klang, Selangor 2-2 di Shah Alam, malah mendahului 2-1 ketika baki
permainan tinggal 10 minit, memberi isyarat bahawa skuad dari selatan ini bukan
sebarangan pasukan.
Negeri Sembilan harus
menggandakan usaha mengekang pasukan Azuan Zain ini, biarpun skuad Rusa baru
mencipta kejayaan ke atas Kuala Lumpur untuk di tempat teratas Kumpulan A.
Selangor semakin mempamerkan
kemerosotan sepanjang aksi musim ini dan prestasi anak buah Abdul Rahman
Ibrahim diuji lagi dalam pertarungan dengan Kuala Lumpur di Cheras.
Pertarungan dijangka sengit
kerana kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan terutama Kuala Lumpur yang
terluka dengan kekalahan 3-0 kepada Negeri Sembilan.
NS Chempaka mungkin tidak
terkilan dengan kegagalan di Kuantan Selasa lalu tetapi perhitungan dengan
Sarawak di Paroi mungkin membuahkan hasil walaupun Bujang Senang kembali garang
selepas melibas si Kijang di Kota Bharu.
Turut menjadi tumpuan ialah
perlawanan antara juara liga, Pulau Pinang dengan Perlis di Batu Kawan.
Kedua-dua pasukan sudah
mencatat kemenangan tetapi Harimau Kumbang masih mengekalkan reputasi selaku
juara selepas mudah membaham JKR Kedah 4-0. Singa Utara harus berhati-hati,
sekurang-kurangnya tidak kalah di kandang sendiri.
Sabah dijangka tidak menghadapi
masalah untuk mengutip tiga mata ke atas JKR Kedah di Penampang tetapi usah
terlalu yakin kerana JKR Kedah memiliki semangat tinggi seperti empat pasukan
kelab lain.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bkdCm9KA
umber© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan