ARKIB : 03/03/2002
PERAK mengukuhkan kedudukan
pendahulu bola sepak Perdana Satu selepas mencatat kemenangan bergaya 5-1 ke
atas Negeri Sembilan di Stadium Perak, semalam.
Negeri Sembilan mengejutkan tuan
rumah dengan mendahului menerusi K. Rajan seawal minit ke-15, tetapi V.
Saravanan menyamakan kedudukan pada minit ke-32.
Khalid Jamlus meletakkan Perak
2-1 pada minit ke-40, Ahmad Shahrul Azhar menjaringkan gol ketiga pada minit
ke-54. Khalid dan Saravanan masing-masing menambah satu lagi gol pada minit
ke-89 dan 88.
Dalam perlawanan di Stadium Shah
Alam, Selangor mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga selepas mengalahkan
pasukan jiran, Kuala Lumpur 2-0.
Penyerang veteran, Azman Adnan
membuka jaringan menerusi penalti pada minit ke-12, sebelum Rusdi Suparman
melengkapkan kemenangan pada minit ke-79.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Sabah yang bermain dengan 10 orang masih mampu menewaskan tuan rumah, NS Chempaka
1-0. Sabah yang kehilangan Reithaudin Imbran selepas dia dibuang padang
memperoleh gol tunggal kemenangan menerusi Josiah Seton pada minit ke-45.
Di Stadium Pasir Gudang, Johor FC
meneruskan permainan baik dengan menundukkan Perlis 1-0.
Jonathon Ben Angeluea
menjaringkan gol kemenangan seawal minit keempat.
Di Stadium Negeri, Batu Kawan,
gol lewat minit oleh Chow Chee Weng menyelamatkan juara liga, Pulau Pinang yang
seri 1-1 dengan pasukan bermasalah, Sarawak.
Pasukan pelawat mendahului 1-0
menerusi Ramos Sari pada minit ke-23. Tiga minit sebelum tamat permainan, tuan
rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Chee Weng.
Di Stadium Sultan Nasiruddin,
Kelantan yang beraksi dengan 10 orang mengalahkan juara Piala Malaysia,
Terengganu 2-1.
Pemain import Kelantan,
Woorrawoot Sirimaka membuka jaringan pada minit ke-17, tetapi Hairuddin Omar
berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-42.
Sekali pun Kelantan terpaksa
bermain dengan 10 pemain selepas Mohd. Bukini Dollah dibuang padang, Woorrawoot
memastikan pelawat pulang dengan tiga mata menerusi gol kemenangan minit ke-65.
Pahang yang turut beraksi dengan
10 pemain tunduk 2-1 kepada Melaka dalam perlawanan di Stadium Hang Tuah.
Pemain import, Melnikov
Viatcheslav membuka gol Pahang pada minit ke-39, tetapi Melaka menjaringkan gol
kemenangan menerusi Tuan Rosli Tuan Shaari (minit ke-66) dan Mohd. Armi Sharif
pada minit terakhir.
Dalam perlawanan Perdana Dua yang
berlangsung semalam, Kedah mengalahkan SKMK Kelantan 4-0 di Stadium Darulaman.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bxNYCcqx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan