Selasa, 28 Mac 2017

Barisan terbaik Perak menanti Telekom Melaka

ARKIB : 13/02/2003
PENYANDANG juara, Perak tidak memandang rendah kemampuan Telekom Melaka sebaliknya akan menurunkan barisan terbaik dalam perlawanan pembuka tirai Liga Perdana Satu di Stadium Perak, Ipoh Sabtu ini.

Jurulatih, Toni Netto berkata, beliau mengingatkan anak-anak buahnya agar memberi aksi terbaik dan tidak memandang rendah keupayaan lawan biarpun mereka hanya pasukan bertaraf kelab.

``Jika pemain fikir pasukan kelab mudah ditewaskan mungkin mereka silap kerana pasukan-pasukan yang layak ke Liga Perdana Satu mempunyai kekuatan dan strategi tersendiri,'' jelas Netto di Ipoh semalam.

Menurut Netto, beliau berkata demikian berdasarkan pengalamannya musim lalu apabila Perak nyaris dimalukan oleh Johor FC kerana aksi sambil lewa pemain.

Katanya lagi, Perak memerlukan tiga mata penuh dalam perlawanan pembukaan kerana ia mampu membakar semangat menghadapi perlawanan akan datang.

Mengenai ketiadaan pemain import dalam perlawanan pertama, Netto menjelaskan perkara itu bukan masalah besar sehingga mampu menjejaskan perancangannya.

``Saya percaya pemain tempatan mampu mengungguli bahagian pertahanan dan serangan bagi mengisi ruang pemain import,'' kata jurulatih dari Brazil itu.

Skuad Seladang masih menanti kedatangan pemain pertahanan dari Brazil, Carlos Alberto Moreira yang mewakili kelab Serrano di Rio de Jeneiro.

Sementara seorang lagi pemain import yang belum diputuskan adalah antara penyerang dari Argentina, Luciano Gonzalez dengan penyerang Brazil, Flavio Galvao.

Namun begitu, bahagian serangan Perak mungkin tidak merasai kesan ketiadaan penyerang import kerana gandingan pemenang Kasut Emas musim lalu, Mohd Khalid Jamlus dan V. Saravanan masih berbisa bagi menembusi benteng lawan.

Kehadiran bekas ketua pasukan Selangor, Yusri Che Lah yang digandingkan dengan pemain kebangsaan, Indera Putra Mahyuddin di bahagian tengah sudah tentu dapat membantu Khalid dan Saravanan kelak.

``Saya mempunyai strategi tersendiri untuk membolehkan Perak mengutip mata penuh walaupun ketiadaan pemain import kelak,'' tegas Netto.

Memandangkan perlawanan pertama semakin hampir, pemain Perak yang beragama Islam tidak bercuti semalam untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Sebaliknya mereka melakukan latihan intensif seperti biasa di Stadium Perak yang mana Netto sibuk mengatur strategi permainan menjelang pertemuan dengan Telekom Melaka kelak.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cc16flnT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan