ARKIB : 28/07/2001
Oleh Ainol Amriz Ismail
KATA orang `jangan cuba bermain
api, nanti terbakar diri'. Inilah yang terjadi kepada jurulatih Perak, Karl
Heinz Weigang yang secara sedar membuka pekung di dada - ``saya bekerja tanpa
permit'' kepada pengetahuan umum.
Weigang mungkin celupar, tetapi
satu perkara yang lebih menarik dalam isu ini ialah bagaimana seseorang yang
tidak mempunyai permit kerja dan tidak pula mengikat sebarang kontrak boleh
`bertugas' senang lenang di negara ini.
Sedangkan pembantu rumah
sekalipun, jika tidak mempunyai permit kerja akan diburu pihak berkuasa, inikan
pula jurulatih yang sentiasa berada di khalayak ramai.
Weigang sudah bekerja di negara
ini sejak enam bulan lalu - tanpa permit kerja, tanpa diikat sebarang kontrak.
Weigang cuma pekerja, tetapi
majikannya, Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA), sebenarnya lebih
bertanggungjawab bagi menyediakan permit kerja untuk Weigang.
Soal keceluparan Weigang, itu
hal peribadi beliau, tetapi faktor undang-undang tetap merujuk kepada kesalahan
yang boleh dikenakan hukuman, baik kepada PAFA mahupun Weigang sendiri.
Peruntukan undang-undang cukup
jelas, mana-mana pesalah dibawah Akta Imigresen 59/63, jika disabitkan
kesalahan, majikan yang menggaji pekerja tanpa permit boleh dihukum denda tidak
kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 untuk setiap orang yang digaji atau
dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun.
Manakala pekerja yang
disabitkan kesalahan bekerja tanpa permit yang sah, boleh didenda RM1,000 atau
dipenjara tidak lebih enam bulan.
Dalam konteks ini Jabatan
Imigresen perlu bertegas dan tidak memberi muka kepada pesalah undang-undang
negara, kerana faktor ini akan mendorong lain-lain persatuan sukan di negara
ini mengambil sikap sambil lewa dalam urusan kontrak dan permit kerja di masa
hadapan.
Kita mahu semua jurulatih atau
atlet asing berada di negara ini mematuhi undang-undang negara dan tempoh sah
mereka berada di Malaysia.
Oleh yang demikian, banyak
pihak yang mula bertanya, ``bagaimana PAFA boleh membenarkan Weigang bekerja,
sedangkan dia tiada permit dan kontrak pula tidak ditandatangani.''
Jika benar Weigang `orang
degil', sepatutnya dari awal lagi PAFA sudah menolak kehadirannya ke negeri itu
sebagai jurulatih.
Kita juga mahu Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) campur tangan dalam soal permit kerja dan menjadikan ia
sebagai satu syarat mutlak dalam penyenaraian pasukan ke dalam Liga Malaysia.
Mereka yang tiada permit kerja,
dicadangkan supaya tidak disenaraikan pasukan terbabit sehingga perkara itu
dapat diatasi.
Hal ini akan memberikan
mana-mana pasukan lebih serius dalam perkara berkaitan kontrak.
Seperkara lagi, pasukan yang
tidak mengemukakan salinan kontrak kepada FAM, juga dicadangkan agar digantung
atau dikenakan tindakan tegas oleh FAM.
Ini bagi mengelakkan `tragedi
Weigang' berulang di masa hadapan dan sekali lagi mencemarkan kancah bola sepak
tanah air.
Isu Weigang-PAFA akan senyap
selepas Jabatan Imigresen Perak mengarahkan mereka tidak membuat sebarang
kenyataan akhbar.
Namun begitu, kita sedar dalam
senyap, kedua-dua pihak pastinya mempunyai alasan sendiri untuk mempertahankan
diri.
Apa pun, kita ucapkan selamat
tinggal Weigang!
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bhfsfWbq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan