Sabtu, 29 April 2017

Perak kekalkan corak pantas - Netto

ARKIB : 09/10/2004
JURULATIH, Toni Netto mahu para pemain Perak sentiasa cergas bagi mengekang setiap pergerakan pihak lawan dalam perlawanan akhir bola sepak Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Katanya, kecergasan yang tinggi amat diperlukan agar para pemain dapat bergerak dengan tangkas bagi menyekat serangan dan mampu menyerang balas dengan pantas.
Jurulatih dari Brazil itu dijangka mengekalkan corak permainan pantas yang sudah menjadi darah daging pemain-pemain Perak sejak tahun 1990-an lagi.
``Saya memerlukan pergerakan pantas bagi menrealisasikan strategi yang disusun agar permainan Perak lebih berkesan dan mantap,'' kata Netto ketika ditemui di Ipoh, semalam.
Bagi menjamin kecergasan stamina, Netto membawa para pemain skuad Seladang menjalani latihan fizikal di sebuah gimnasium berhampiran Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Para pemain telah menjalani latihan tersebut selama dua jam di gimnasium itu dalam usaha meningkatkan lagi tahap kecergasan mereka.
Selain itu, Netto dijangka menggunakan khidmat beberapa pemain muda seperti ketua pasukan bawah 20 tahun kebangsaan, Ahmad Azlan Zainal, Harizul Izuan Abd. Rani dan K. Yoganathan untuk mengekalkan permainan pantas skuad Seladang.
Netto mengakui beberapa pemain muda telah matang dalam permainan masing-masing dan mampu menghadapi perlawanan berprestasi tinggi seperti perlawanan akhir Piala FA tersebut.
Ketua pasukan bawah 20 tahun kebangsaan yang telah mempamerkan persembahan mantap di barisan pertahanan bersama-sama Syamsol Saad, Luciano Goux dan Asmawi Bakiri akan diturunkan Ahad ini.
Harizul yang bergerak pantas di bahagian tengah juga mendapat perhatian Netto bagi digandingkan dengan Richardo Silva dan pemain kebangsaan, K. Nanthakumar
Perak meletakkan harapan yang tinggi bagi membawa pulang Piala FA ini setelah terlepas sebarang kejuaraan apabila tersungkur dalam persaingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala AFC.
Para penyokong Kejor Yeop Kejor turut mengharapkan piala itu kembali semula ke Ipoh setelah menunggu selama 14 tahun.
Perak merupakan juara pertama piala tersebut yang dimenanginya pada tahun 1990.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan