ARKIB : 06/08/2004
MAHU atau tidak, Perak perlu memastikan kemenangan menjadi miliknya sekiranya mahu dinobatkan naib juara bola sepak Liga Super menentang Public Bank, Sabtu ini, lapor Kamaruddin Ismail.
Malah, jentera serangannya juga perlu mempamerkan komitmen yang lebih kental dengan melakukan gerakan penyudah yang mampu mengatasi ledakan pihak lawan.
Skuad Seladang yang gagal menyaingi Pahang dalam perebutan kejuaraan liga itu bergantung sepenuhnya kepada sentuhan berbisa penyerang Liberia, Frank Seator.
Seator yang ditemui semalam, meminta rakan sepasukannya turut membantu menjaringkan gol dan tidak terlalu berharap kepadanya menembusi pintu gol lawan.
``Kadang-kadang saya juga melakukan kesilapan sehingga gagal menjaringkan gol dan sekali gus mengecewakan pasukan serta para penyokong,'' katanya di Ipoh.
Penyerang lincah itu terkilan apabila dipersalahkan oleh penyokong Seladang apabila Perak sekadar seri dengan Sabah.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan itu yang mana Seator menjaringkan kesemua gol skuad Seladang.
Bagaimanapun, dia yang memperoleh peluang terbaik di depan gawang lawan gagal menyempurnakannya menyebabkan penyokong Seladang tidak berpuas hati.
``Saya sudah melakukan yang terbaik bagi skuad Seladang,'' jelas Seator yang sentiasa mahukan Perak mengutip mata penuh dalam setiap perlawanan sebelum ini.
Seator telah menjaringkan 14 gol, kini bersaing sengit dengan penyerang Pahang, Indera Putra Mahayuddin dalam perebutan Kasut Emas selaku penjaring terbanyak.
Indera Putra yang menjaringkan 15 gol merupakan bekas penyerang skuad Seladang dan bersama Pahang menjuarai Liga Super musim ini.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi mengakui Perak kekurangan penyerang berbisa bagi memastikan gerakan penyudah yang mampu menghasilkan gol.
Namun, beliau percaya barisan serangan yang sedia ada masih mantap bagi menghadapi perlawanan akan datang termasuk Piala FA dan Piala Malaysia kelak.
Pengurus pasukan itu tidak menolak kemungkinan mengambil penyerang import bagi meningkatkan lagi jentera serangan Perak kelak
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan