Ahad, 2 April 2017

Perak mara ke suku akhir



ARKIB : 16/07/2003
PERAK menjuarai kumpulan B setelah menumpaskan DPMM FC dari Brunei 3-0 dalam Kejohanan Bola Sepak Juara Kelab ASEAN di Stadium Petrokimia, Gresik, Surabaya petang semalam.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Perak layak ke suku akhir dan akan menentang Samart United dari Kemboja di Jakarta pada 20 Julai depan.

Sebelum ini, Perak turut mencatat kemenangan selesa ke atas Angkatan Tentera Singapura 2-0 di stadium yang sama, Ahad lalu.

Gol Perak dalam perlawanan semalam dijaringkan oleh penyerang import, Frank Seator pada minit ke-52, Syamsol Saad (71) dan Harizul Izwan Abd. Rani pada minit ke-90.

Pada separuh masa pertama, DPMM FC berjaya mengekang kemaraan barisan serangan skuad Seladang yang terdiri daripada Seator, Flavio Galvao dan Indera Putra Mahayuddin membuatkan kedua-dua pasukan seri tanpa tanpa jaringan.

Penyerang import DPMM, Oluseye Ayayi dari Nigeria beberapa kali berjaya melepasi pertahanan Perak tetapi gagal menumpaskan penjaga gol, Hamsani Ahmad.

Namun kemenangan Perak mula terbayang apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti setelah Yusri Che Lah dijatuhkan oleh pertahanan DPMM.

Seator tidak melakukan sebarang kesilapan dengan tendangannya menumpaskan penjaga gol DPMM pada minit ke-52 untuk gol pertama.

Selepas itu, persembahan Perak semakin menyengat dengan asakan bertalu-talu ke kubu DPMM dan berjaya menghasilkan gol kedua.

Ia diperoleh menerusi tandukan tajam pemain pertahanan, Syamsol pada minit ke-71, selepas dia menerima bola hantaran cantik sepakan sudut yang diambil oleh Galvao.

Pemain import dari Liberia, Seator terlepas tiga peluang keemasan bagi menambahkan jaringan kerana rembatannya gagal menepati sasaran walaupun hanya berdepan penjaga gol DPMM.

Perak menambah gol ketiga selepas Harizul Izwan menguis masuk bola hantaran cantik ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-90.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4d5lwKXjC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan