ARKIB : 24/08/2003
PULAU PINANG bertafakur selama
seminit sebagai penghormatan kepada bekas pemainnya dan juga kebangsaan,
Allahyarham Ali Bakar dan kemudian beraksi cemerlang untuk menang 2-0 ke atas
penyandang juara, Selangor dalam kempen Kumpulan C pertandingan Piala Malaysia
di Stadium Batu Kawan, Nibong Tebal semalam.
Tuan rumah bagaimanapun terpaksa
menunggu sehingga minit ke-63 untuk memperoleh gol pembukaan menerusi R.
Sureshkumar dan jaringan Gustavo Romero tujuh minit selepas itu hanya
mengesahkan kemenangan mereka.
Sabah pula terus menerajui
Kumpulan C walau pun hanya seri 1-1 dengan MPPJ Selangor di Stadium Petaling
Jaya dengan kedua-dua pasukan memperoleh gol menerusi sepakan penalti.
Gol Sabah dijaringkan oleh Robert
Gaspar (6) manakala MPPJ memperoleh gol penyamaan melalui Juan Manuel Arostegui
(53).
Perak pula menunjukkan belangnya
dalam Kumpulan D apabila menundukkan juara Perdana Dua, Public Bank 3-0 di
Stadium Selayang dengan gol-gol diperoleh menerusi Frank Seator (44), Yusri Che
Lah (48) dan Indra Putra Mahyuddin (89).
Sementara itu, jaringan awal
Melaka menerusi Ahmad Tarmini Saiban seawal minit kedua tidak membawa makna
besar apabila mereka tumpas 3-1 kepada Johor FC di Stadium Hang Tuah.
Johor FC bangkit garang selepas
itu untuk membalas menerusi Jonathan Ben Anggelucci (17) dan (penalti, 60).
Satu lagi gol Johor Fc disumbangkan oleh Ivan Zelic (45).
Perlis pula membalas dendam
kekalahan mereka kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala FA apabila
menang 2-1 ke atas skuad Rusa dalam persaingan Kumpulan B di Stadium Utama,
Kangar, terima kasih kepada jaringan kemenangan Che Zambil Ahmad (87).
Perlis mendahului menerusi Lamin
Conteh Jr. (23) sebelum Suharmin Yusof mengikat kedudukan pada minit ke-86
hanya untuk bertahan buat seketika.
Perlawanan tercemar pada minit
terakhir apabila pergaduhan hampir tercetus dan pengadil perlawanan nyaris
dipukul oleh pemain.
Pahang beraksi cemerlang apabila
menundukan Johor 4-1 pada perlawanan bola sepak dalam persaingan Kumpulan A
Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru.
Gol-gol Pahang diperoleh melalui
percubaan Hariuddin Omar (22), Sharizan Salleh (43), Shahrul Nizam Sahat (53)
dan Azizul Kamaluddin (89) untuk terus meletakkan skuad Tok Gajah di tangga
teratas kumpulan.
Johor hanya mampu memperoleh gol
sagu hati menerusi Mohd. Farid Ideris (26).
Kedah pula terus memberi saingan
ke atas Pahang apabila menang 2-1 ke atas Kelantan menerusi jaringan Akmal
Rizal Rakhli (2) dan Zool Ihsan Yunus (57) manakala Kelantan membalas menerusi
Akmal Ahmad Tabarani (36).
Perlawanan tergendala kira-kira
16 minit apabila Kelantan tidak berpuas hati dengan gol kedua Kedah dijaringkan
dalam keadaan off-side.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dHvmMRVb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan