ARKIB : 11/09/2003
PEMAIN Sarawak, Gilbert Cassidy
Gawing diasak oleh seorang pemain Perak sambil diperhatikan Ahmad Shahrul Azhar
(kiri) semasa aksi suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium
Perak, Ipoh, semalam. Perak menang 2-0.
JUARA Perdana Satu, Perak dan
juara Piala FA, Perlis masing-masing menggunakan sepenuhnya kelebihan bermain
di hadapan penyokong sendiri untuk mencatat kemenangan selesa pada perlawanan
suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia semalam.
Perak menang 2-0 ke atas Sarawak
sementara Perlis menumpaskan Public Bank dengan angka yang sama.
Sabah pula menang tipis 1-0 ke
atas Kedah manakala Pahang seri tanpa jaringan dengan MPPJ Selangor.
Juara tujuh kali, Perak mencipta
kemenangan berharga ke atas Sarawak yang terpaksa meneruskan permainan dengan
10 pemain di Stadium Perak, Ipoh.
Penyerang dari India, Baichung
Bhutia terus membuktikan khidmatnya memang boleh diharapkan apabila menjaringkan
gol pertama perlawanan pada minit ke-15 setelah menerima umpanan Chan Kok Heng.
Yusri Che Lah menambah ceria
kira-kira 30,000 penyokong juara Perdana Satu itu apabila menyumbat gol kedua
pada minit ke-67 setelah mencuri bola daripada kawalan ketua pasukan Bujang
Senang, Bobby Chua.
Pasukan pelawat kelihatan semakin
tertekan apabila Gilbert Cassidy Gawing diarah meninggalkan padang pada minit
ke-71 kerana mengkasari Yusri, namun Perak gagal menggunakan kesempatan itu
untuk menambah jumlah jaringan.
Sementara itu, naib juara tahun
lepas, Sabah menarik nafas lega apabila mencipta kemenangan 1-0 ke atas Kedah
di Stadium Likas, Kota Kinabalu, terima kasih kepada Keith Gumbs pada babak
kedua.
Perlawanan berlangsung sengit
dengan kedua-dua pasukan sering mencemaskan penjaga gawang tetapi tuan rumah
yang akhirnya menyambar peluang apabila sepakan sudut Robert Gaspar ditanduk
masuk oleh Gumps pada minit ke-65, membuatkan Stadium Likas gamat oleh sorakan
kira-kira 15,000 penonton yang merupakan kehadiran teramai dicatatkan setakat
ini.
Di Kangar, naib juara Perdana
Satu, Perlis turut selesa apabila menang 2-0 ke atas Public Bank di Stadium
Utama Negeri, Kangar.
Namun, skuad Singa Utara terpaksa
menunggu sehingga tempoh tiga minit terakhir perlawanan untuk menghasilkan gol
bagi dibuat bekal pada perlawanan suku akhir kedua yang dijadualkan berlangsung
Sabtu ini.
Pemain antarabangsa Zambia,
Philimon Chipeta membuka laluan kemenangan buat naib juara Piala FA itu apabila
menolak masuk gol pertama pada minit ke-87 sebelum pemain dari Sierra Leone
menambah gol kedua hanya dua minit selepas itu. Ketika tiga pasukan tuan rumah
mencipta kemenangan semalam, Pahang memilih laluan sukar selepas sekadar seri
tanpa jaringan dengan MPPJ Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dU4TGsMy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan