Sabtu, 8 April 2017

Empat tonggak Perak `dikebas'



ARKIB : 30/10/2003
 JUARA Liga Perdana Satu, Perak terpaksa mengharungi laluan yang berduri dalam Liga Super apabila empat tonggak utamanya dipancing bagi memantapkan pasukan negeri lain pada musim depan, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Penolong jurulatih, Mohd. Zakaria Mohamed mengesahkan dua pemain kebangsaan, Indera Putra Mahayuddin dan K. Nantha Kumar dipancing oleh Pahang dengan harga yang begitu lumayan.

Zakaria turut memberitahu bahawa penjaga gol, Hamsani Ahmad dan pemain tengah, Yusri Che Lah cuba dipikat oleh Negeri Sembilan dan Perlis.

Keempat-empat pemain tersebut telah memainkan peranan penting dalam setiap perlawanan yang dilalui oleh skuad Seladang sehingga mampu menjulang Piala Liga Perdana Satu dua tahun berturut-turut.

Sukan Utusan difahamkan bahawa Persatuan Bolasepak Pahang, Perlis dan Negeri Sembilan telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan keempat-empat pemain tersebut kepada Persatuan Bolasepak Perak ( PFA ) baru-baru ini.

Zakaria berkata, beliau tidak mengetahui sebarang keputusan muktamad daripada keempat-empat pemain tersebut sama ada terus kekal atau berpindah ke negeri lain.

``Kekuatan Perak mungkin lumpuh jika pemain-pemain utamanya mengambil tindakan meninggalkan negeri ini secara beramai-ramai,'' kata penolong jurulatih itu ketika ditemui di Ipoh malam kelmarin.

``Terpulanglah kepada pihak pengurusan sama ada ingin melepaskan mereka ke negeri lain atau terus beraksi dengan skuad Seladang bagi memburu Piala Liga Super yang pertama kali diperkenalkan tahun depan,'' jelasnya.

Beliau selaku pembantu kepada jurulatih dari Brazil, Toni Netto akan tetap melatih skuad Seladang seperti biasa sama ada keempat-empat pemain tersebut berpindah ke negeri lain atau sebaliknya.

Namun begitu katanya, PFA boleh menghalang perpindahan Indera Putra, Nantha Kumar, Yusri dan Hamsani dengan mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan mereka.

Sementara itu, dua pemain pertahanan, Chan Kok Heng, 35, dan Abu Bakar Fadzim, 33, pula mengumumkan persaraan mereka setelah menabur jasa lebih 12 tahun dengan skuad Seladang. Kok Heng yang mula mewakili negeri ini pada tahun 1988 merupakan pertahanan utama skuad Seladang musim lalu yang digandingkan dengan Syamsol Saad, Faizal Zainal dan Chan Wing Hoong.

Ketiadaan Kok Heng yang dikenali sebagai `Orang Tua' merupakan tamparan hebat kepada skuad Seladang kerana Perak tidak mempunyai pengganti setanding pemain tersebut.

Namun begitu, Kok Heng akan turun bagi kali terakhir menyarung jersi Perak dalam Kejohanan Jemputan Antarabangsa Vietnam di Hanoi mulai Sabtu ini.

Abu Bakar yang lebih dikenali sebagai `Burn' mengambil keputusan bersara setelah berkhidmat lebih 12 tahun dengan skuad Seladang dan ingin memberi laluan kepada pemain-pemain muda beraksi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4deArmALM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan