ARKIB : 22/06/2003
PEMAIN Sabah, Josiah Seton
(kanan) cuba melepasi kawalan pemain Pahang, Khairul Jasari Salleh (kiri) di
depan gol lawan pada aksi Liga Perdana Satu di Stadium Likas, Kota Kinabalu,
semalam. - Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN.
PERAK kembali melonjak ke persada
Liga Perdana Satu dengan mengambil kesempatan sepenuhnya daripada ketiadaan
pencabar terdekat mereka, Kedah yang tidak beraksi semalam selepas menang tipis
ke atas pasukan tercorot, Terengganu 1-0 dalam perlawanan di Stadium Perak,
Ipoh.
Tanpa kelibat pemain kontroversi,
Khalid Jamlus yang tidak diturunkan, Perak boleh menarik nafas lega dengan
jaringan tunggal pemain pertahanan, Faizal Zainal pada minit ke-25.
Jaringan cantik Faizal dilakukan
menerusi sepakan percuma daripada luar kotak penalti yang terus menerjah jaring
lawan.
Dengan kemenangan itu, Perak kini
memungut 36 mata, tiga mata di depan Kedah yang bagaimanapun kurang bermain
satu perlawanan.
Di Stadium Shah Alam, pasukan
pelawat, Sarawak mengejutkan Selangor menerusi kemenangan 2-1 untuk kekal
menghuni tangga ketiga liga.
Walaupun mendahului lawan hasil
jaringan D. Surendran pada minit ke-51, Selangor gagal mempertahankan kedudukan
tersebut apabila Sarawak membalas dua gol selepas itu.
Gilbert Cassidy Gawing
menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-63 sebelum Sapian Wahid muncul wira
dengan gol kemenangan pada minit ke-80.
Di Stadium Batu Kawan, Seberang
Prai, Pulau Pinang mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Kelantan.
S. Nanthakumar membuka jaringan
buat pasukan Harimau Kumbang menerusi sepakan penalti pada minit ke-37.
Babak kedua, tuan rumah menambah
dua lagi jaringan menerusi Hasmawi Hassan (m-61) dan Wan Rohaimi Wan Ismail
(m-90).
Tiga lagi perlawanan antara
Sabah-Pahang, Johor FC-Perlis dan Melaka-Telekom Melaka mencatatkan keputusan
seri 1-1.
Gol Sabah dijaringkan Robbie
Gaspar pada minit ke-65 sebelum Pahang menyamakan kedudukan menerusi Juzaili
Samion pada minit ke-86 dalam perlawanan di Stadium Likas.
Manakala Philimon Chiepita
menjaringkan gol buat Perlis pada minit ke-26 sebelum kelebihan itu dinafikan
Bakhtiar Othman menerusi gol penyamaan Johor FC pada minit ke-62 dalam
perlawanan di Stadium Pasir Gudang.
Melaka pula mencipta gol sebaik
permainan dimulakan menerusi Mohammad Suffian tetapi Telekom hanya memerlukan
lapan minit untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Mohd. Rizal
Mohd. Hassan di minit ke-9 dalam perlawanan di Stadium Hang Tuah.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4czYC6HOp©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan