ARKIB : 16/09/2003
PENGURUS Pasukan Perak, Datuk
Jamal Nasir Rasdi kecewa dengan segelintir pemain yang cuba mensabotaj skuad
Seladang menjelang pertemuan penting separuh akhir pertama bola sepak Piala
Malaysia menentang Sabah di Kota Kinabalu Sabtu ini.
Jamal Nasir berkata, mereka
berusaha mensabotaj pasukan itu apabila sengaja menggembar-gemburkan isu
pemberian bonus di dalam media tempatan agar dapat mengganggu tumpuan para
pemain.
``Saya tidak faham mengapa isu
bonus itu ditimbulkan semula sedangkan telah diselesaikan dua minggu lalu yang
mana para pemain berpuas hati cara pemberiannya,'' kata Jamal Nasir kepada para
pemberita di Ipoh, semalam.
Pengurus Pasukan itu telah
membuat sidang akhbar di pejabatnya bagi menjelaskan isu bonus yang ditimbulkan
oleh seorang pemain yang tidak mahu namanya dikenali dalam sebuah akhbar
berbahasa Inggeris semalam.
Pemain berkenaan telah mengkritik
pihak pengurusan tentang cara pemberian bonus kepada para pemain skuad Seladang
yang didakwanya tidak adil.
Beliau menyifatkan kenyataan pemain
berkenaan mempunyai niat jahat untuk melihat skuad Seladang tersungkur dalam
perlawanan separuh akhir dan seterusnya menggagalkan misi Perak menjadi juara
berganda musim ini.
``Kita sedang menyiasat indentiti
pemain berkenaan dan mungkin mengenakan tindakan tatatertib ke atasnya kerana
kenyataan itu tidak berasas sama sekali,'' tegas Jamal Nasir.
Sebelum ini, segelintir pemain
mendesak ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar supaya lebih bertegas mengenai
pemberian bonus dengan pihak pengurusan. Shahrul `merajuk' dengan tidak beraksi
dalam dua perlawanan Piala Malaysia kerana tidak tertahan dengan tekanan
daripada rakan-rakan sepasukan mengenai isu tersebut.
``Mereka sepatutnya tidak
mempertikaikan cara pemberian bonus itu kerana pihak pengurusan selaku majikan
mempunyai hak mutlak mengenainya,'' jelas Jamal Nasir.
``Mereka sepatutnya bersyukur
kerana pihak pengurusan bersedia memberi bonus kerana ingin menggembirakan dan
meningkatkan motivasi masing-masing,'' tambahnya.
Pengurus Pasukan itu berkata Persatuan
Bolasepak Perak (PFA) telah menetapkan bonus antara RM200 - RM500 bagi setiap
pemain jika Perak mencatat kemenangan dalam Liga Perdana yang lalu.
``Selain itu bonus sebanyak
RM2,600 diberikan kepada setiap pemain setelah mencatat empat kemenangan dalam
perlawanan Piala Malaysia bagi kumpulan D yang lalu,'' jelasnya.
Katanya, pihak pengurusan turut
bersetuju memberikan ganjaran sebanyak RM2,500 di atas kejayaan menumpaskan
Sarawak dengan aggregat 4-3 dalam perlawanan suku akhir Sabtu lalu.
Mengenai bayaran elaun dalam
lawatan ke Magribi awal tahun ini, Jamal Nasir menegaskan bahawa kunjungan ke
negara tersebut merupakan lawatan sambil berehat yang mana tidak diberikan
sebarang elaun.
Beliau berharap isu bonus tidak
patut diperbesar-besarkan kerana masalah ini kecil sahaja yang boleh
dibincangkan secara keluarga.
``Saya tidak akan tunduk kepada
tekanan daripada mana-mana pemain mengenai masalah bonus ini kerana pihak
pengurusan mempunyai cara tesendiri dalam pemberiannya,'' jelas Jamal Nasir.
Beliau sedia bertemu dengan
mana-mana pemain secara perseorangan atau berkumpulan jika mereka mahu
berbincang atau menyatakan perasaan tidak puas hati mengenai perkara ini.
Sementara itu, bendahari PFA,
Datuk Mansur Ahmad berkata, persatuan telah menjelaskan bonus kepada para
pemain seperti yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.
`` Para pemain harus faham bahawa
pemberian bonus itu mungkin berbeza-beza antara satu sama lain berdasarkan
sumbangan mereka kepada pasukan,'' jelasnya.
Selain itu katanya, pemberian
bonus merupakan hak persatuan yang mana perkara ini tidak tercatat dalam
kontrak antara para pemain dengan PFA.
`` Namun begitu, persatuan tetap
memberikannya bagi mengenang jasa dan keringat para pemain yang bertungkus
lumus untuk mencatat sesuatu kemenangan,'' jelasnya.
Beliau turut memberitahu PFA
telah membelanjakan hampir RM300,000 setiap bulan bagi bayaran gaji para pemain
skuad seladang.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4dYpeqvDm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan