ARKIB : 18/09/2003
Oleh Kamaruddin Ismail PERAK menerima tamparan hebat
menjelang persiapan terakhir untuk bertandang ke gelanggang lawan bagi separuh
akhir pertama Piala Malaysia di Kota Kinabalu Sabtu ini apabila penyerang
utamanya, Frank Seator terus dibelenggu masalah kecederaan.
Penyerang berbisa dari Liberia
itu mengalami kecederaan pada lutut kanannya dan masih belum menjalani latihan
sehingga semalam menyebabkan jurulatih, Tonni Netto semakin resah.
Seator sedang menjalani rawatan
rapi oleh fisioterapi skuad Perak, Mohd Zainuddin Zakaria di Stadium Perak,
Ipoh setiap hari.
Netto mengakui jika Seator tidak
dapat bermain Sabtu ini sudah tentu menjejaskan bahagian serangan Perak
memandangkan mana penyerang itu mempunyai penyudah yang berbisa.
``Saya berharap Seator dapat
pulih sepenuhnya menjelang pertemuan penting ini bagi digandingkan dengan
Bhaichung Bhutia dan Indera Putera Mahayuddin,'' kata Netto di Ipoh semalam.
Kehadiran bekas penyerang
kebangsaan Liberia mula mendapat perhatian para peminat tempatan setelah
menjaringkan lima gol dalam Kejohanan Bola Sepak Juara Kelab-kelab Asean di
Jakarta Julai lalu.
Seator yang mula menyarung jersi
Perak pada Julai lalu hanya menyumbangkan dua gol sahaja dalam Liga Perdana
Satu yang mana Perak muncul juara bagi kali kedua berturut-turut.
Kelicikan Seator menjaringkan gol
semakin menjadi-jadi apabila berjaya menyumbatkan lapan gol dalam enam daripada
lapan perlawanan Piala Malaysia ini.
Penyerang itu menjadi penyelamat
dan penggerak kepada Perak dalam perlawanan kedua suku akhir di Kuching, Sabtu
lalu apabila Seator menjaringkan gol pada saat-saat akhir permainan.
Perak yang ketinggalan tiga gol
terpaksa menurunkan Seator yang belum pulih daripada kecederaan lutut kanannya
bagi menggerakkan serangan dan menghidupkan peluang ke separuh akhir.
Percaturan Netto itu berjaya
membuahkan hasil apabila serangan Perak kembali berbisa dan mencatat kemenangan
ke atas Bujang Senang dengan agregat 4-3.
Sebelum ini, skuad Seladang yang
berazam menjadi juara berganda telah kehilangan pemain pertahanan utamanya,
Faizal Zainal yang digantung satu perlawanan kerana menerima kad kuning ketiga.
``Saya berharap tidak kehilangan
Seator pula yang boleh menjejaskan strategi pasukan ini,'' jelas Netto yang
beranggapan Sabah merupakan sebuah pasukan yang mantap.
Katanya, kecuaian dan kealpaan
para pemain sesebuah pasukan akan menjadi kunci utama kepada kemenangan pasukan
lawan masing-masing.
Berdasarkan perlawanan Liga
Perdana Satu yang lalu, Sabah mempunyai kelebihan untuk mengatasi skuad
Seladang yang mana pasukan Di Bawah Bayu itu mencatat kemenangan 1-0 di Kota
Kinabalu dan seri 0-0 di Ipoh.
Sementara itu, Seator yakin dapat
diturunkan bersama-sama Bhaichung dan Indera Putera dalam perlawanan penting
Sabtu ini kerana kecederaannya semakin pulih. `` Saya tidak mahu terlepas dalam
perlawanan ini kerana ingin membantu rakan-rakan sepasukan mencapai impian
sebagai juara berganda kelak,'' kata Seator dengan bersemangat.
Penyerang dari Liberia itu
berharap dapat menjalani latihan bersama-sama rakan-rakan yang lain mulai hari
ini jika fisioterapi pasukan membenarkannya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dZIuadGh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan