ARKIB : 04/08/2003
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
PARA pemain dan pegawai Perak
akan menerima imbuhan apabila pihak pengurusan skuad Seladang bersetuju
mengagihkan hadiah RM150,000 sebagai juara bola sepak Perdana Satu bagi musim
kedua berturut-turut kelmarin.
Pengurus Pasukan, Datuk Jamal
Nasir Rasdi berkata, pengagihan itu bertujuan mengenang jasa para pemain dan
pegawai yang bertungkus lumus bagi menjulang nama Perak sejak beberapa bulan
lalu.
Skuad Seladang muncul Liga Perdana
Satu kali kedua berturut-turut setelah membelasah Melaka 6 - 1 di Stadium
Perak, Ipoh dan pesaing terdekatnya, Kedah hanya mampu seri 1 - 1 dengan Sabah
di Kota Kinabalu malam kelmarin.
Beliau mengakui Perak berada
dalam kedudukan yang paling sukar bagi mengekalkan kejuaraan sebelum perlawanan
itu kerana skuad Seladang perlu menjaringkan gol yang banyak.
`` Saya berpesan kepada para
pemain agar bermain bersungguh-sungguh supaya memperolehi kemenangan tetapi
tidak memikirkan mengenai juara liga atau sebaliknya,'' kata Jamal Nasir ketika
ditemui di Ipoh semalam.
Oleh itu katanya, para pemain
Perak bermain tanpa sebarang tekanan dan mereka berjaya mempamerkan persembahan
mantap sehingga menjaringkan enam gol.
Sehubungan dengan itu, para
pemain Perak menyerang bertalu-talu pintu gol Melaka sebaik sahaja wisel
dibunyikan dan berjaya mendapat gol awal hasil tandukan Indra Putra Mahayuddin
pada minit ke-3.
Selepas itu, Yusri Che Lah
menambah gol kedua pada minit ke-28 dan diikuti oleh Ahmad Shahrul Azhar pada
minit ke-34 membolehkan Perak mendahului 3 - 0 pada separuh masa pertama. Pada
separuh masa kedua, skuad Seladang itu menambah tiga gol lagi melalui penyerang
import dari Liberia, Frank Seator ( m-53, 77 ) dan Indera Putra ( m-83 ).
Selepas perlawanan tamat, Stadium
Perak yang dipenuhi hampir 30,000 penyokong Kejor Yeop Kejor terdiam selama
tiga minit menanti wisel penamat di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Para penyokong skuad Seladang
termasuk Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri
Mohd Tajol Rosli Ghazali bersorak kegembiraan apabila juruacara mengumumkan
keputusan perlawanan di sana dan sekaligus Perak muncul juara bagi kali kedua
berturut- turut.
``Saya ingin mengucapkan ribuan
terima kasih kepada Sabah yang mempamerkan kecemerlangannya dan secara tidak
langsung menyekat kemaraan Kedah merebut Piala Liga musim ini,'' tambahnya.
Jurulatih, Toni Netto tersenyum
lebar apabila percaturannya meletakkan Indera Putra dan Seator sebagai
penyerang utama berjaya membuahkan hasil yang membanggakan. `` Saya benar-benar
gembira dengan kejayaan ini dan sekaligus membuktikan Perak masih sebuah
pasukan terkuat di negara ini walaupun telah mencatat beberapa keputusan
perlawanan yang kurang memberangsangkan,'' jelas Netto.
``Kerja saya dalam Liga Perdana
Satu sudah tamat dan kini akan memulakan kerja bagi kempen Piala Malaysia
supaya keputusannya sama seperti Piala Liga ini,'' tambah jurulatih dari
Brazil.
Ketua Pasukan, Ahmad Shahrul
berkata, beliau telah mengingatkan rakan-rakanya supaya bermain
bersungguh-sungguh tanpa memikirkan samada boleh menjuarai Piala Liga atau
sebaliknya.
`` Saya bersyukur kerana segala
penat lelah yang ditunjukkan oleh rakan sepasukan membolehkan Perak muncul
juara lagi,'' kata Ahmad Sharul yang turut mengucapkan ribuan terima kasih
kepada para pemain Sabah.
Pemain kebangsaan, Indera Putra
berkata, beliau begitu selesa apabila digandingkan dengan Seator sebagai
penyerang utama yang mana kedua-dua pemain itu menjaringkan empat daripada enam
gol kelmarin. `` Saya berharap gandingan ini dapat dikekalkan dalam Piala
Malaysia kelak supaya barisan serangan Perak akan lebih menyengat,'' ujar
Indera Putra.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4dBnmHVtB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan