Jumaat, 7 April 2017

Perak enggan ulangi kegagalan



ARKIB : 17/09/2003

Oleh KAMARUDDIN ISMAIL

PERAK tidak mahu sejarah lalu berulang kembali dan berazam menebusnya pada pertemuan menentang Sabah pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabtu ini.

Jurulatih, Toni Netto sedang bekerja keras menyusun strategi bagi mencari formula yang terbaik untuk membendung kekuatan Sabah dengan pertingkatkan lagi keberkesanan bahagian pertahanan, tengah dan serangan Perak.

``Pertemuan ini boleh dianggap sengit dan menarik kerana Perak berazam menidakkan hasrat Sabah mengulangi rekod tahun lalu dengan layak ke perlawanan akhir bagi kali kedua berturut-turut,'' kata Netto di Ipoh semalam.

Skuad Seladang kecundang di tangan skuad Badak dengan aggregat 4-3 pada perlawanan separuh akhir tahun lalu setelah Sabah menang 2-1 di Ipoh dan seri 2-2 di Kota Kinabalu.

Perak perlu mencari strategi yang lebih mantap bagi menyekat keghairahan Sabah yang ingin mengulangi rekod tahun 2002 itu. Sehubungan dengan itu, Netto terpaksa memberi perhatian yang lebih teliti pada bahagian pertahanannya dengan ketiadaan Faizal Zainal yang digantung satu perlawanan setelah menerima kad kuning ketiga Sabtu lalu.

``K. Nantha Kumar yang sering beraksi di bahagian tengah masih mampu menggantikan Faizal bagi digandingkan dengan Chan Kok Heng, Chan Wing Hoong dan Syamsol Saad,'' jelas Netto.

Beliau mengakui gandingan mantap di bahagian pertahanan amat penting supaya dapat mematahkan kelincihan para penyerang Sabah terutama Keith Gumbs kelak.

``Saya berharap keberkesanan Ahmad Sharul Azhar dan Yusri Che Lah menggerakkan serangan di bahagian tengah akan menjadi kunci utama Perak bagi menjaringkan gol,'' kata jurulatih dari Brazil itu.

Penyerang dari India, Bhaichung Bhutia, bekas penyerang Liberia, Frank Seator dan penyerang kebangsaan, Indera Putra Mahayuddin tetap diberi kepercayaan menerajui barisan serangan.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, semangat para pemain Perak berada pada tahap yang tinggi untuk mengharungi cabaran separuh akhir Sabtu ini.

``Saya percaya tumpuan mereka tidak terjejas dengan isu remeh temeh yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu,'' jelas Jamal Nasir.

Pengurus Pasukan itu berkata, para pemain tidak mahu memperkatakan isu tersebut kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan penting Sabtu ini.

Hasil tinjauan Sukan Utusan di Stadium Perak petang semalam mendapati semua pemain Perak begitu gembira menjalani latihan di bawah pengawasan Netto dan Mohd Zakaria Mohamed.

``Saya gembira dengan sikap mereka yang lebih mementingkan maruah negeri daripada mempertikaikan isu remeh temeh,'' jelas Jamal Nasir bahawa Persatuan Bolasepak Perak (PFA) tidak pernah melupai khidmat para pemain.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dYrX1k9L
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan