Jumaat, 28 April 2017

Perak hilang lima pemain utama

ARKIB : 04/09/2004
PERAK menerima tamparan hebat apabila lima pemain utamanya terpaksa direhatkan dalam pertemuan dengan juara bertahan, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium MPPJ, Petaling malam ini.
Lima pemain utama skuad Seladang yang terpaksa menjadi penonton adalah Richardo Silva, Liew Kit Kong, Mohd Hamsani Ahmad, K. Nantha Kumar dan Asmawi Bakiri.
Skuad Seladang yang amat mengharapkan mata penuh selepas kekalahan 1-2 kepada Pulau Pinang, Ahad lalu berdepan dengan masalah benteng pertahanan yang rapuh apabila dua pertahanan utamanya, Nantha Kumar dan Asmawi serta penjaga gol utama, Mohd Hamsani masih mengalami kecederaan.
Jurulatih, Toni Netto pening kepala memikirkan cara yang terbaik bagi memperkemaskan benteng pertahanan dan pintu golnya dengan ketiadaan ketiga-tiga pemain utama tersebut.
Netto memberitahu semalam, beliau tidak mempunyai pilihan lain dengan menurunkan pemain-pemain muda bagi mengisi kekosongan tersebut agar dapat mengekang kemaraan pemain-pemain bimbingan buah Dolah Salleh itu.
``Saya harap pemain-pemain muda yang akan diberi peluang nanti menggunakan kesempatan ini dengan sebaiknya.
Inilah masanya untuk mereka merebut tempat semasa ketiadaan pemain-pemain utama dalam pasukan ini,'' katanya.
Selain itu, Netto juga berdepan masalah kecederaan dua pemain tengahnya, Richardo dan Kit Kong yang boleh mencacatkan serangan skuad Seladang.
Selain itu, dia juga gusar dengan kemerosotan prestasi penyerang utama, Frank Seator sejak akhir-akhir ini kerana Perak benar-benar mengharapkan jaringan yang banyak supaya tidak menimbulkan masalah pada masa akan datang.
``Saya tidak tahu apa yang menyebabkan dia kurang menyengat, tetapi ia adalah situasi biasa yang dialami oleh penyerang.
Saya harap ia tidak berterusan dan dia (Seator) perlu menunjukkan sentuhan berbisanya semula,'' tambahnya.
Walaupun kehilangan beberapa pemain utama tetapi Netto berjanji pasukan bimbingannya akan berusaha untuk membawa pulang tiga mata penuh kerana laluan ke suku akhir semakin berliku.
Dalam masa yang sama, dia berharap para pemainnya sudah mendapat rentak selepas berdepan jadual perlawanan ketat termasuk berdepan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam separuh akhir pertama Piala FA Rabu lalu.
Dalam perlawanan itu, skuad Seladang memperoleh bekalan tipis 1-0 hasil jaringan Luciano Goux.
Jurulatih dari Brazil itu juga tidak memandang mudah ancaman yang boleh dicipta oleh lawan mereka MPPj yang juga juara bertahan Piala Malaysia.
Ini kerana skuad bimbingan Dollah Salleh itu begitu terdesak untuk memungut mata pertama bagi menghidupkan semula peluang mereka untuk ke suku akhir sekali gus mempertahankan piala tersebut.Selepas dua perlawanan Perak mengutip tiga mata untuk berada di tempat kedua Kumpulan B, manakala MPPJ di tangga tercorot.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan