Sabtu, 1 April 2017

Perak terus bertakhta



ARKIB : 29/06/2003
PEMAIN Perak, Flavio Rocha Galvao (kanan) cuba melepasi pemain pertahanan Pahang, Shahrul Nizam Sahat ketika perlawanan Perdana Satu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam. Perak menang 3-2. - Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.

PERAK melebarkan jurang pendahuluan di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Satu apabila menumpaskan Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Skuad Seladang mendahului pada minit ke-12 menerusi tandukan Syamsul Mohamad Saad. Ahmad Norafandy menambah gol kedua pasukan Tony Netto itu pada minit ke-22.

Bagaimanapun tuan rumah merapatkan jurang gol kepada 2-1 sebelum rehat menerusi tandukan Azizul Kamaludin pada minit ke-28.

Pada babak kedua, Chang Wing Hoong menggegarkan jaring Pahang menerusi sepakan percuma pada minit ke-61 sebelum Hairul Nizam Hanif menjaringkan gol kedua Pahang pada minit terakhir perlawanan.

Telekom Melaka pula gagal menggunakan kesempatan menentang pasukan di tangga kedua, Kedah yang beraksi dengan 10 pemain apabila hanya seri 1-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Telekom mendahului 1-0 menerusi jaringan Isaac Kuffour pada minit ke-20 tetapi Zainudin Ariffin menolak masuk gol penyamaan pada minit ke-36.

Sarawak pula gagal menggunakan sepenuhnya kesempatan beraksi di Stadium Sarawak, Kuching apabila hanya seri 1-1 dengan pasukan bawahan, Melaka.

Melaka mendahului menerusi tendangan kencang Halim Jantan pada minit ke-79. Sapian Wahid menyelamatkan rekod tanpa kalah Bujang Senang di tempat sendiri dengan gol minit ke-84.

Perlis pula melonjak tiga anak tangga ke tempat keempat setelah menumpaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Utama, Kangar menerusi jaringan Philimon Chipeta pada minit ke-16 dan Che Zambil Ahmad minit ke-70.

Perlawanan itu terpaksa dimulakan pada pukul 10 malam akibat hujan lebat.

Sementara itu, tempoh kelam Selangor berterusan apabila tumpas 4-3 kepada Kelantan di Stadium Shah Alam walaupun menyaksikan Mass Sarr Jr. mencipta hatrik pada minit ke-13, 46 dan 80.

Kelantan berterima kasih kepada Worrawoot Srimaka yang menjaringkan dua gol pada minit ke-43 dan 80 serta Khairul Zal Azmi Zahinudin yang turut menyumbang dua jaringan, minit ke-72 dan 87.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, terus menyaksikan Terengganu seri 1-1 dengan Johor FC. Azmi Mohamad memastikan tuan rumah kecewa apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-64 setelah sebelum itu Seidu Issifu meletakkan skuad Penyu di depan pada minit ke-25.

Sementara itu, TNB Kelantan menewaskan Tentera 2-0 dalam kempen Perdana Dua di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu hasil jaringan Baharudin Ghazali pada minit ke-11 dan Daudsu Jamaludin pada minit ke-75.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4czj04pnC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan