ARKIB : 15/09/2003
PERCATURAN semula strategi
permainan menjadi kunci utama kemenangan Perak bagi melayakkan diri ke separuh
akhir Piala Malaysia menentang Sabah di Kota Kinabalu Sabtu ini.
Penolong jurulatih, Mohd. Zakaria
Mohamed berkata, percaturan semula itu terpaksa dibuat apabila barisan serangan
Perak kurang menyengat bagi mendapatkan gol.
Zakaria mengakui gandingan V.
Saravanan, Bhaichung Bhutia dan Indera Putra Mahayuddin walaupun beberapa kali
mencemaskan pintu gol Sarawak pada separuh masa pertama tetapi gagal
mendapatkan gol.
``Apabila ketinggalan dua gol,
kami berbincang semula bagi mendapatkan strategi terbaik supaya hasrat Perak ke
separuh akhir tercapai,'' kata Zakaria, semalam.
Katanya, penyerang Liberia, Frank
Seator yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan terpaksa
diturunkan bagi menggantikan Saravanan pada separuh masa kedua.
``Percaturan ini telah
meningkatkan persembahan Perak dan berjaya memperoleh dua gol pada sepuluh
minit terakhir perlawanan,'' jelas Zakaria.
Kebangkitan Perak sepuluh minit
terakhir permainan sekali gus menyingkir Sarawak yang sedang mendahului tiga
gol melalui jaringan Wong Sai Kong (minit sembilan dan 36) dan Sapian Wahed
(61).
Perak yang berbekalkan dua gol
daripada perlawanan suku akhir pertama di Ipoh memperoleh gol berharga melalui
Bhaichung (81) dan Seator (90).
Jaringan kedua-dua pemain import
itu menyebabkan kedudukan agregat berubah menjadi 4-3 sekali gus membolehkan Perak
layak ke separuh akhir.
Katanya, walaupun perlawanan itu
berlangsung dalam keadaan sengit tetapi Perak bersyukur kerana tiada pemain
yang cedera.
Namun barisan pertahanan mungkin
goyah apabila Faizal Zainal terpaksa direhatkan Sabtu ini kerana menerima kad
kuning ketiga.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dYlNfjXm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan