Isnin, 3 April 2017

Perak di tempat keempat



ARKIB : 27/07/2003

HASRAT Perak untuk mendudukki sekurang-kurang tempat ketiga Kejohanan Bola Sepak Kelab ASEAN berkecai apabila tumpas 3-0 kepada kelab dari Indonesia, Petrokimia Putra dalam Kejohanan Bola Sepak Kelab-Kelab Asean, di Stadium Senayan, Jakarta, semalam.

Kekalahan itu menyaksikan Perak hanya mampu membawa pulang hadiah wang tunai RM38,000 dan Petrokimia pula meraih wang tunai RM56,000 setelah muncul pemenang ketiga .

Skuad Seladang yang turun tanpa perancang utamanya, Ahmad Shahrul Azhar beraksi dengan baik tetapi gagal melepasi benteng pertahanan Petrokimia.

Shahrul terpaksa menjadi penonton apabila kecederaan pergelangan kakinya masih belum pulih dan Chan Wing Hoong menggantikan posisinya.

Gandingan dua penyerang lincah Petrokimia, Zainal Ichwan dan pemain import dari Brazil, Rivaldo Costa membuatkan benteng pertahanan Perak yang diketuai oleh Syamsol Saad sering tertekan.

Salah faham antara Faizal Zainal dan Rushanizam Mohd Idrus memberi peluang kepada Costa menyumbat gol pertama Petrokimia yang menewaskan penjaga gol Perak, Hamsani Ahmad pada minit ke-35.

Perak cuba bangkit semula bagi menyamakan kedudukan tetapi Frank Seator yang menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan itu bersama-sama Flavio Galvao dan Yusri Che Lah masih gagal menembusi pertahanan Petrokimia.

Perak semakin parah apabila terpaksa bermain10 orang setelah Syamsol dibuang padang pada minit ke-53 kerana mengasari Costa.

Kealpaan pertahanan Perak membolehkan Zainal menambah gol kedua Petrokimia apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid lalu menumpaskan penjaga gol gantian, Tay Sin Kiat pada minit ke-46.

Seminit kemudian pintu gol Perak bocor lagi apabila Zainal menolak masuk bola yang muntah daripada tampanan Sin Kiat setelah Costa melakukan rembatan kencang dari penjuru kanan pintu gol.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dB3I8fW9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan