ARKIB : 25/06/2000
PERAK merampas kembali takhta
bola sepak Liga Perdana Satu buat kali kedua daripada Selangor, walaupun
sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Terengganu dalam
perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Kekalahan Selangor kepada
Perlis 1-2 serta kelebihan jumlah jaringan meletakkan semula Perak sebagai
pendahulu walaupun berkongsi 25 mata dengan Selangor dan Pulau Pinang.
Turun tanpa pemain tonggak
seperti Azrul Amri Burhan dan V. Saravanan, Perak perlu menyalahkan diri sendiri
kerana tidak kurang daripada empat peluang terbaik terhidang di samping
menguasai sebahagian besar permainan.
Perak mendapat sokongan 8,000
penyokongnya, bagaimanapun memperoleh dua peluang terbaik menerusi Khalid
Jamlus dan Liew Kit Kong tetapi kesemuanya tersasar.
Perlis meranapkan harapan
Selangor untuk kekal di tangga teratas dengan kemenangan 2-1 di Stadium Utama,
Kangar.
Gol-gol Singa Utara dijaringkan
oleh Rosmin Musa pada minit ke-35 dan S. Paidiya Rau minit ke-61.
Gol tunggal Selangor dijaringkan
oleh Nazzab Hidzan pada minit ke-84.
Pasukan tuan rumah lebih banyak
mengasak pada separuh masa pertama terutamanya pada awal-awal perlawanan
sehingga memaksa penjaga gol pasukan Merah Kuning, Azmin Azram A. Aziz bekerja
keras mengawal gawang.
Rosmin bijak mencari peluang
untuk menjaringkan gol pembukaan ketika berada dalam kotak penalti dan S.
Paidiya Rau melepasi dua pertahanan Selangor untuk menjaringkan gol kedua.
Selangor menggembirakan
penyokong setianya yang turut berada di Stadium Utama Kangar apabila memperoleh
gol pertama melalui Nazzab yang membuat sepakan percuma dalam bulatan kotak
penalti.
Sementara itu, Kuala Lumpur
menewaskan Brunei 3-2 di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Pemain tengah Kuala Lumpur G.
Muthu menjaringkan gol pertama pada minit ke-20 tetapi Brunei menyamakan
kedudukan enam minit kemudian melalui Azmanuddin Gillen.
Mohd. Nizaruddin Yusof
menjadikan kedudukan 2-1 buat Kuala Lumpur pada minit ke-43 sebelum Abang
Norsillmy Taha sekali lagi menyamakan kedudukan dua minit kemudian.
Gol kemenangan Kuala Lumpur di
jaringkan oleh Mohd. Shawal Johadi pada minit ke-81.
Juara bertahan, Pahang menemui
semula sentuhan kemenangannya apabila membenam Johor 3-0 di Stadium Darul
Makmur, Kuantan.
Tiga gol masing-masing
dijaringkan oleh Azizul Kamaluddin, Shahrin Majid dan Wan Rohaimi Ismail yang
semuanya menerusi tandukan kembali meletakkan Pahang di landasan terbaik untuk
memburu persaingan ke Piala Malaysia.
Ahmad Shaharuddin Rosdi
mencipta gol pendahuluan buat Pahang pada minit ke-33.
Umpanan lintangnya disambut
tepat dengan tandukan Azizul untuk menceriakan penyokong setia Tok Gajah.
Shaharuddin sekali lagi
bertindak selaku perancang jaringan tuan rumah dan tandukan Shahrin pula yang
menemui sasaran.
Shahrin yang menyambung
hantaran lambung Shahruddin, dengan bergaya melompat dan mencari penjuru kiri
gawang Johor untuk jaringan kedua Pahang pada minit ke-62.
Tuan rumah makin selesa apabila
bekas penyerang kebangsaan, Wan Rohaimi yang menemui kembali sentuhan
berbisanya mencipta gol ketiga untuk memastikan tiga mata penuh untuk tuan
rumah, lima minit sebelum tamat.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman
Paroi, pasukan tuan rumah Negeri Sembilan kecundang 2-1 kepada Pulau Pinang.
Dua gol Hasmawi Hassan pada minit ke-23 dan 37 memastikan Pulau Pianng membawa
pulang tiga mata.
Negeri Sembilan hanya
memperoleh gol pada minit terakhir minit ke-86 menerusi tendangan leret Azmi
Mohamed dari jarak 30 meter.
Walaupun memiliki banyak peluang
untuk menyamakan kedudukan, Negeri Sembilan gagal menyempurnakannya.
Pergaduhan hampir tercetus
antara kedua-dua pasukan pada minit ke-71 apabila Azmi dikasari pemain Pulau
Pinang, Darul Nazri Danian. Azman terus meluru ke arah Darul tetapi dihalang
Khairil Zainal.
Darul Nazri dilayangkan kad
merah.
Di Stadium Sarawak, pasukan
tuan rumah jelas menghadapi masalah untuk menembusi kubu Sabah terutama pada
babak pertama permainan.
Mereka hanya mampu membuka
jaringan pada babak kedua tetapi pasukan lawan mengikat kedudukan 10 minit
selepas itu untuk kedua-dua pasukan seri 1-1.
Sarawak memecah kebuntuan
daripada aksi hambar permainan dengan jaringan pembukaan Mohd. Dahlan Matussin
pada minit ke-65 tetapi Rezuan Ahman Khan menyamakan kedudukan pada minit ke-77
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4XDA0CzrG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan