ARKIB : 05/09/2002
PERAK mengotakan janjinya untuk
mencipta kejutan dalam pertandingan bola sepak Sukma IX di Sabah apabila
menundukkan pasukan pilihan, Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Universiti Malaysia
Sabah (UMS) pada perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan
10 orang, semalam.
Pemain tengah, R. Surendran
menjadi wira Perak apabila menjaringkan gol pada minit ke-37 sekali gus
membantu pasukannya membalas kekalahan 2-0 ke atas Negeri Sembilan pada
perlawanan Piala Presiden tahun ini.
Namun, perlawanan tercemar
apabila berlaku pertengkaran di tengah padang sehingga memaksa pengadil
melayangkan kad merah kepada Azrine Effendy Sa'duddin dari Negeri Sembilan dan
Azizol Idrus dari Perak secara serentak pada minit ke-43.
Perlawanan terus berlaku dalam
suasana hangat yang menyaksikan tiga pemain Negeri Sembilan dan dua dari Perak
turut dilayangkan kad kuning.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak
membantu Perak untuk menduduki tangga selesa apabila pada masa yang sama, satu
lagi pesaingnya, Brunei menundukkan Perlis 2-1 pada perlawanan di Stadium
Penampang.
Gol-gol Brunei diperoleh menerusi
Edi Ruslan Abd. Samad pada minit ke-56 dan Mohammad Yusmin Hatta Md. Yusop
minit ke-80. Perlis membalas melalui Amirul Jufri Abdul Jalil seminit sebelum
permainan tamat.
Sementara itu, langkah sumbang
mengiringi pasukan pilihan, Selangor apabila tunduk 1-0 kepada Majlis Sukan
Sekolah-Sekolah Malaysia pada perlawanan sulung bola sepak masing-masing dalam
Kumpulan D.
Perlawanan itu menyaksikan
Selangor seperti terlalu yakin untuk memperoleh kemenangan ketika MSSM pula
tampak lebih bijak apabila pantas mengubah rentak permainan setelah buntu untuk
mencari gol pada perlawanan yang berlangsung UMS itu.
MSSM yang mendapati langkah
mereka mudah dibaca oleh pemain lawan pada babak pertama, membuat tiga
pertukaran bermula pada minit ke-63.
Percaturan itu tidak sia-sia
apabila Hafiz Syobri Oman menolak masuk gol minit ke-71.
Dalam keadaan terdesak, Selangor
mengeluarkan Fairuz Montana Zainal Abidin untuk memberi ruang kepada Mohd. Fadhil
Mohd. Hashim beraksi. Namun, pertukaran pada minit ke-83 itu sudah terlalu
lewat untuk membolehkan Selangor mengubah nasibnya.
Dalam perlawanan lain, Sarawak
menundukkan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Penampang sekali gus meletakkan dirinya
di tangga teratas Kumpualn D di atas MSSM.
Gol-gol Sarawak diperoleh
menerusi Irwanshah Mohamad pada minit ke-43 dan Hamidin Manap di minit ke-72
sebelum membenarkan Kuala Lumpur membalas melalui Mohd. Ivan Mohd. Yusof.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cIC3SP3X©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan