Khamis, 23 Mac 2017

Perak tersungkur di Batu Kawan



ARKIB : 29/05/2002
PEMAIN Selangor, Mass Sarr Jr. melambung di udara ketika diasak pemain Sarawak, Bobby Chua dalam aksi bola sepak Perdana Satu di Stadium Sarawak, semalam. Selangor menang 2-1. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.

PULAU PINANG menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri untuk mengecewakan pendahulu liga bola sepak Perdana Satu, Perak dengan keputusan 2-1 di Stadium Negeri, Batu Kawan, semalam.

Hasmawi Hassan dan Gustavo Romero meletakkan Pulau Pinang pada kedudukan selesa dengan gol pada minit ke-12 dan 18.

V. Saravanan cuba mengembalikan Perak ke dalam saingan dengan jaringan gol pada minit ke-24 tetapi hanya itu yang mampu dilakukan.

Bagaimanapun, kedudukan Perak di tangga teratas tidak terjejas dan masih mendahului Selangor yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sarawak.

Selangor yang bertandang ke Stadium Sarawak di Kuching mengambil kesempatan apabila pemain tuan rumah, Jeffery Akup menerima kad merah pada penghujung babak kedua.

Romeo Kambou sempat meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-20 tetapi kedudukan kembali seimbang dua minit kemudian apabila Mass Sarr menewaskan penjaga gol Sarawak Asri Sanusi sebelum Shukor Adan menyepak masuk gol kemenangan pada minit ke-59.

Sementara itu, Johor FC masih mampu menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekalipun beraksi dengan 10 pemain.

Jonathon Angelucci dibuang padang pada minit ke-12 tetapi Vincent Savoka menjadi penyelamat apabila menanduk masuk kedua-dua gol pelawat pada minit ke-16 dan 90. Sebelum itu Kuala Lumpur mendahului melalui jaringan Liew Kim Tu pada minit kelapan.

Pasukan tercorot liga, Negeri Sembilan mencipta kejutan di laman lawan apabila menundukkan Terengganu 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hasil jaringan K. Rajan pada minit ke-79.

Pemain gantian, Mohd. Anuar Jusoh pula membantu Perlis mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke 74 ketika menang 1-0 ke atas Pahang di Stadium Utama, Kangar.

Kelantan pula mengikat Sabah dengan kedudukan 1-1 di Stadium Sul-tan Mohammad IV, terima kasih kepada penyerang dari Thailand, Woorawoot Srimaka.

Sabah mendahului menerusi Suharmin Yusuf pada minit ke-10 tetapi lima minit kemudian, Woorawoot menyempurnakan sepakan penalti.

Melaka pula membelasah NS Chempaka 4-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan Faizal Esahar menemui sasaran pada minit ke-65 dan 89. Dua lagi gol menerusi Halim Jantan pada minit ke-18 dan Saiful Bahri Shahrun minit ke-83.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cCseCg5m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan