Sabtu, 11 Mac 2017

Perak berhadapan dengan dua penyerang berbisa

ARKIB : 10/10/2000
TUGAS Perak pasti berganda pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan Ahad ini, kerana mereka bukan sahaja perlu mengawasi Azman Adnan tetapi harus menyekat pergerakan seorang lagi penyerang berbahaya si Rusa, Efendi Malek, lapor JOHARI SHAWAL.

Efendi, 22, jelas semakin mencuri perhatian dalam kempen Piala Malaysia musim ini menerusi aksi tangkasnya di depan gawang.

Pemain berasal dari Seremban itu dilihat membayangi Azman kerana sentuhannya di depan gawang sering menjadi terutama ketika Negeri Sembilan berada pada saat genting.

Aksinya dalam Piala Malaysia musim ini menjelaskan kedudukannya selaku penyerang yang digeruni dan tidak keterlaluan dikatakan, walaupun Azman adalah penjaring terbanyak skuad Rusa, sentuhan Efendi telah menyumbang kejayaan pasukan mara buat pertama kali pada pentas akhir Piala Malaysia sejak 52 tahun.

Efendi menjaringkan dua gol ketika Negeri Sembilan menang 2-1 ke atas Sarawak pada separuh akhir pertama di Kuching. Dia menjaringkan gol kedua ketika Rusa melangkah bergaya ke akhir Piala Malaysia menewaskan Sarawak 2-1 di Paroi Sabtu lalu untuk menang agregat 4-2.

Gol Efendi di Paroi adalah jaringan ketujuh baginya dalam kempen Piala Malaysia sesudah mengumpul enam gol dalam aksi Perdana Satu.

Amat jelas, Perak bakal berdepan kehancuran untuk mengulangi kejayaan menjulang Piala Malaysia pada 1998, jika skuad Karl Heinz Weigang tidak berhati-hati mengekang penyerang muda itu.

Namun, Efendi tidak dapat lari daripada berdepan dengan masalah. Walaupun berada pada prestasi terbaik menjelang pertarungan akhir itu, dia bimbang dengan keadaan dirinya.

''Saya akan bermain buat pertama kali dalam perlawanan akhir Piala Malaysia... sesuatu yang saya idamkan sejak dulu lagi.

''Pasti ia satu kejayaan besar bagi saya. Tetapi saya tidak memiliki pengalaman beraksi dalam perlawanan besar dan penting seperti ini.

''Saya pasti gugup dan itulah sahaja yang menjadi masalah kepada saya sekarang ini,'' kata Efendi ketika dihubungi di Seremban, semalam.

Efendi memulakan kariernya sebagai pemain Liga Simpanan dan pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan pada 1996 dan dipinjamkan sekali sekala untuk skuad senior Rusa pada 1997 di bawah kendalian jurulatih M. Karathu.

Dia mula bermain untuk pasukan senior sepenuh masa pada 1998 yang masih dibimbing Karathu sebelum Irfan Bakti mengambil alih pada 1999 dan Mohd. Zaki Sheikh Ahmad pada 2000.

Jauh di sudut hati, Efendi berharap aksi pertamanya pada akhir Piala Malaysia mampu menceriakan Negeri Sembilan.

''Sudah tentu saya berharap dapat menyumbang sesuatu untuk pasukan membawa pulang Piala Malaysia. Apalagi Negeri Sembilan sudah menunggu 52 tahun untuk mendapatkannya.

''Inilah masa terbaik buat kami. Saya tidak kecewa jika tidak menjaringkan gol Ahad ini asalkan Piala Malaysia tahun ini menjadi milik Negeri Sembilan,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b4JTyUe3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan