ARKIB : 16/10/2002
NAIB juara musim lalu, Perak
mengharungi perlawanan sukar di gelanggang lawan tetapi pulang dengan kepuasan
selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1 pada aksi suku akhir pertama bola sepak
Piala Malaysia di Stadium Batu Kawan, semalam.
Di hadapan ribuan penyokong
lawan, Perak yang bergelar juara liga musim ini, mengejutkan skuad yang
menjulang Piala FA lebih awal pada minit keempat menerusi V. Saravanan.
Bagaimanapun, Harimau Kumbang
bangkit pada babak kedua dengan gol penyamaan oleh R. Suresh Kumar pada minit
ke-48 yang melegakan sedikit penyokong tuan rumah.
Namun pemain kebangsaan, Indra
Putra Mahayuddin meranapkan harapan Pulau Pinang untuk bergembira di gelanggang
sendiri apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-64, hasil kesilapan
benteng tuan rumah.
Di Stadium Darulaman, Alor Setar,
Kedah yang bermain tanpa bintangnya, Akmal Rizal Rakhli meletakkan sebelah kaki
ke separuh akhir selepas menang besar 5-1 ke atas Majlis Perbandaran Petaling
Jaya (MPPJ).
Kedah tidak menunggu lama untuk
membuka jaringan yang disempurnakan oleh Mohd. Rafdi Abdul Rashid pada minit
kedua diikuti jaringan kedua Kedah oleh Zainuddin Mohd. Ariffin tiga minit
kemudian.
Matar Diop menjadikan kedudukan
3-0 pada minit ke-43 dan Irwan Fadzli Idrus menambah derita pasukan pelawat dengan
jaringan keempat minit ke-59.
MPPJ Selangor mungkin sedikit
lega kerana masih mampu menjaringkan satu gol menerusi G. Muthu minit ke-79
tetapi Kedah tidak puas dengan empat gol dan menambah satu lagi jaringan
menerusi Zainuddin minit ke-85.
Dalam aksi di Stadium Shah Alam,
Selangor terpaksa menunggu sehingga 10 minit terakhir untuk menghasilkan dua
gol sebelum menumpaskan Pahang 2-0.
Jaringan Yusri Che Lah pada minit
ke-82 dan pemain veteran, Azman Adnan minit ke-90 pasti melegakan kem Selangor
yang memburu gelaran Piala Malaysia buat kali ke-29.
Di Stadium Likas, Sabah menafikan
kegarangan pasukan kelab, Public Bank Selangor dengan kemenangan 2-0.
Kedua-dua jaringan itu diperoleh
dalam tempoh lima minit pada babak pertama.
Gol pembukaan Sabah dijaringkan
oleh Suharmin Yusuf pada minit ke-31 sebelum Zainizam Marjan menambah jaringan
kedua minit ke-35.
Aksi peringkat suku akhir kedua
akan berlangsung Sabtu ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cNiKwPRk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan