Ahad, 19 Mac 2017

Karathu yakin Perak mampu atasi Terengganu

ARKIB : 08/10/2001
PENASIHAT teknikal dan pengedali pasukan Perak, M. Karathu yakin pasukannya mampu melangkah ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia musim ini.

Walaupun Perak dan TNB Kelantan berkongsi tujuh mata dan sama-sama pengintai peluang ke suku akhir, Karathu tetap yakin Perak mampu mengatasi Terengganu di Stadium Perak, Ipoh, esok.

``Kami hanya perlu mengatasi Terengganu 1-0 sementara TNB Kelantan perlu menewaskan JKR Kelantan dengan jaringan besar, sekurang-kurangnya 14-0 untuk layak,'' tegas Karathu.

Beliau percaya JKR Kelantan tidak akan memberi laluan mudah kepada kelab senegerinya dan mereka harus bermain secara profesional.

TNB Kelantan hanya mampu mengatasi JKR Kelantan 3-2 pada perlawanan pertama 22 September lalu.

Bagi menghadapi Terengganu, Perak kehilangan dua tonggak, Indra Putra Mahayuddin dan Liew Kit Kong setelah mengutip lebih daripada satu kad kuning.

Karathu bagaimanapun tidak resah kerana Faizal Zainal dan Norizam Ali Hassan bakal mengambil alih tempat mereka.

``Kami harus menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri Selasa ini dan pemain tidak berasa tertekan pada perlawanan nanti kerana Terengganu sudahpun menempah tempat ke suku akhir,'' kata Karathu.

Apa yang penting menurut Karathu, pemainnya mesti menunjukkan semangat dan komitmen yang tinggi sekiranya mahu beraksi ke suku akhir Piala Malaysia tahun ini.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4blGZ4wgQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan