Rabu, 30 November 2016

PAFA tamatkan kontrak Samsurin, L. Suresh

RKIB : 16/04/1999
PERSATUAN Bola sepak Perak (PAFA) mengambil keputusan menamatkan kontrak dua pemain pasukan negeri itu - Samsurin Abdul Rahman dan L. Suresh selepas mereka gagal pulih daripada kecederaan dalam masa yang ditetapkan.

Timbalan Presiden PAFA, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, kekosongan dua pemain itu tidak akan diganti kerana senarai pemain yang ada mampu meneruskan tugas yang diberikan kepada mereka.

Beliau berkata, kedua-dua pemain memahami keputusan yang diambil oleh PAFA itu sewaktu mereka menandatangani kontrak.

Satu daripada syarat yang ditetapkan dalam kontrak itu ialah pemain yang tidak pulih daripada kecederaan akan menghadapi tindakan kontrak mereka ditamatkan, kata beliau selepas mempengerusi satu mesyuarat PAFa di kediaman Menteri Besar Perak, Tan Seri Ramli Ngah Talib di Ipoh, petang semalam.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, kecederaan yang dialami oleh dua pemain itu disahkan sejak sebulan yang lalu dan PAFA terpaksa segera membuat keputusan untuk menjimatkan perbelanjaan.

Sementara itu, penjaga gol Perak, Mohd Ramzi Razuwan digantung daripada beraksi dalam mana-mana perlawanan berkuatkuasa sertamerta berikutan kad mereah yang diterimanya sewaktu perlawanan menentang Brunei, Sabtu lalu. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RULeaiWn © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan